PM dijadual rasmi jajaran jalan baharu hubungkan ICQS BKH, CIQ Sadao

Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam (BKH)

BUKIT KAYU HITAM, 10 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul akan mengadakan lawatan bersama ke Bukit Kayu Hitam hari ini bagi menyempurnakan majlis perasmian jajaran jalan baharu menghubungkan antara Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam (BKH), Malaysia dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lawatan rasmi pertama Perdana Menteri Thailand ke Malaysia sejak dilantik semula Mac lalu.
  • Kabinet Thailand meluluskan pembukaan pos sempadan tetap Sadao bermula esok.
  • CIQ Sadao dibina dengan fasiliti moden untuk mempercepat pemeriksaan, merancakkan perdagangan, pelaburan, logistik dan pelancongan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar dijangka tiba 10.50 pagi dan menghadiri mesyuarat pre-counsil. Selaku tuan rumah lawatan rasmi ini, Datuk Seri Anwar dijadualkan menyambut ketibaan Anutin dan delegasi dari Thailand di pintu masuk sempadan.

Kedua-dua pemimpin berkenaan dijadualkan makan tengah hari bersama di lokasi sama sebelum mengakhiri pertemuan selama dua hari ini.

Terdahulu menurut Kementerian Luar, lawatan selama dua hari itu merupakan lawatan rasmi pertama Perdana Menteri Thailand atas jemputan ke Malaysia sejak dilantik semula sebagai Perdana Menteri pada Mac lalu.

Menjelang lawatan rasmi tersebut, Kabinet Thailand pada Selasa telah meluluskan pembukaan pos sempadan tetap Sadao yang baharu berkuat kuasa bermula esok.

Langkah strategik itu dijangka merancakkan lagi sektor logistik rentas sempadan, selain memudahkan urusan perdagangan, pelaburan, dan sektor pelancongan antara kedua-dua belah pihak.

Kompleks CIQ Sadao baharu ini dihubungkan secara terus dengan Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam di Malaysia.

Ia dibina dengan fasiliti lebih moden untuk melancarkan proses pemeriksaan rentas sempadan. Lokasi itu dijangka merancakkan lagi sektor pelancongan dan logistik perdagangan antara kedua-dua negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.