
PUTRAJAYA, 15 April – Pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) bagi sektor perkhidmatan awam Persekutuan di seluruh negara bermula hari ini termasuk urusan di kaunter kekal beroperasi seperti biasa.
- Perdana Menteri arah Ketua Setiausaha Negara meneliti pelaksanaan BDR termasuk pemantauan kehadiran dan keberadaan penjawat awam setiap masa.
- Kerajaan menyarankan sektor swasta mempertimbangkan pelaksanaan BDR bagi bahagian yang dianggap sesuai.
- 441 kandungan palsu berkait krisis tenaga dikenal pasti; 54 siasatan dibuka, 12 dirujuk kepada Peguam Negara; tindakan penurunan kandungan dan aduan MCMC.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan, Perdana Menteri mengarahkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar untuk meneliti pelaksanaan dasar tersebut termasuk aspek pemantauan kehadiran dan keberadaan penjawat awam pada setiap masa.
“Pihak kerajaan menyarankan sektor swasta turut mempertimbang untuk melaksanakan Dasar Bekerja Dari Rumah bagi bahagian-bahagian yang tertentu yang difikirkan bersesuaian,” katanya dalam taklimat krisis tenaga global dan sidang media pasca mesyuarat Kabinet, di sini.
Dalam pada itu, beliau turut menambah sebanyak 441 kandungan palsu berkait isu krisis tenaga global telah dikenal pasti sejak 29 Mac hingga 15 April.
Daripada jumlah itu, 54 kertas siasatan telah dibuka, dengan 12 daripadanya telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut, manakala selebihnya masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Tindakan turut diambil termasuk permohonan penurunan kandungan palsu di platform media sosial serta aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.