
SUBANG, 16 April – Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, tiba di Malaysia bagi memulakan lawatan rasmi selama tiga hari bermula hari ini hingga Jumaat.
- Ketibaan disambut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dan diberi Kawalan Kehormatan Setempat oleh Rejimen Renjer Diraja.
- Albanese dijadual bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Perdana Putra bagi mesyuarat dua hala.
- Mesyuarat dijangka membincangkan perdagangan, pelaburan, tenaga boleh baharu dan teknologi hijau untuk memperkukuh hubungan dua hala.
Pesawat khas yang membawa Albanese serta delegasi selamat mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini pada 5.15 petang.
Beliau diiringi Menteri Luar Negeri Australia, Penny Wong dan pegawai kanan kerajaan.
Ketibaan Perdana Menteri Australia itu disambut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.
Sejurus tiba, beliau diberi Kawalan Kehormatan Setempat (KKS)oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) dengan kekuatan dua pegawai dan 26 lain-lain pangkat yang diketuai Kapten Mohamad Thabrani Mohamad Sharudin.
Dalam rangka lawatan itu, Albanese dijadual bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Perdana Putra pada 16 April ini.
Majlis sambutan itu akan disusuli dengan mesyuarat dua hala yang dijangka membincangkan pelbagai aspek kerjasama seperti usaha memperkukuh hubungan dua hala, termasuk perdagangan, pelaburan serta kerjasama dalam bidang tenaga boleh baharu dan teknologi hijau.
Australia kekal sebagai rakan dagang penting kepada Malaysia.
Pada tahun 2025, Malaysia dan Australia masing-masing merupakan rakan dagang ke-12 terbesar antara satu sama lain.
Jumlah nilai dagangan dua hala pada tahun 2025 mencecah RM78.63 bilion (USD18.38 bilion), dengan nilai eksport sebanyak RM48.64 bilion (USD11.37 bilion) dan import sebanyak RM29.99 bilion (USD7 bilion).
Lawatan ini dijangka membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik antara kedua-dua negara di masa hadapan.