KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menyambut baik peruntukan kerajaan sebanyak RM2.2 bilion bagi meneruskan 43 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) serta memulakan 12 projek baharu sebagai langkah jangka panjang menangani risiko bencana alam.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata peruntukan itu membuktikan kementeriannya terus menjadi tunjang utama dalam usaha peralihan tenaga dan transformasi air negara.
“Kerajaan MADANI memberi penekanan besar terhadap pembangunan Sabah dan Sarawak melalui pelaburan strategik dalam tenaga, air, jalan raya dan digitalisasi selaras semangat MA63. Sabah terima RM6.9 bilion dan Sarawak RM6 bilion peruntukan tertinggi dalam sejarah,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Beliau turut memaklumkan, RM1.9 bilion disalurkan bagi memperkukuh bekalan elektrik di Sabah dan Labuan melalui projek Southern Link, manakala RM292 juta diperuntukkan untuk melaksanakan Program MASMA, yang menumpukan kepada pemuliharaan sungai serta pembangunan infrastruktur air.
Bagi memperkukuh agenda tenaga negara, RM28.6 juta diperuntukkan bagi pembangunan tenaga nuklear, sementara RM20 juta lagi bagi pelaksanaan Program Bijak Tenaga MADANI ke arah mencapai sasaran Net Zero 2050.