
MARANG, 3 Mei- Sasaran 40,000 pengunjung bagi Pesta Candat Sotong 2026 di Pulau Kekabu, Terengganu berjaya dicapai, sekali gus melepasi jumlah 30,000 pengunjung pada penganjuran tahun lalu.
- Hadiah utama bernilai RM5,000 ditawarkan kepada pemenang pertandingan candat sotong.
- Pertandingan berlangsung empat hari dengan penyertaan 300 peserta menggunakan 30 buah bot.
- Program meningkatkan pelancongan dan menjana ekonomi kepada pengusaha bot, nelayan, penginapan dan peniaga makanan tempatan.
Pengarah Pelancongan Negeri, Tengku Mohd Arifin Tengku A Rahman berkata pencapaian itu mencerminkan peningkatan minat orang ramai terhadap program berkenaan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pelancong domestik dan luar negara.
Beliau berkata penganjuran itu turut menjadi sumber ekonomi kepada pengusaha bot, nelayan, penginapan, peniaga makanan dan usahawan tempatan.
Program berkenaan berlangsung selama empat hari bermula 30 April hingga hari ini dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk pertandingan mencandat sotong yang diadakan pada Sabtu.
Sebanyak 316 kilogram sotong berjaya didaratkan pada edisi kali ini menerusi penyertaan 300 peserta melibatkan 30 buah bot.
Pertandingan anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu itu menawarkan hadiah utama berjumlah RM5,000 kepada pemenang berdasarkan berat tangkapan.
Tempat pertama mencatatkan tangkapan lebih 60 kilogram hingga 64 kilogram, diikuti tempat kedua dengan 39 kilogram dan tempat ketiga sebanyak 33 kilogram.
Selain jumlah tangkapan, sotong terpanjang turut direkodkan dengan ukuran 45 sentimeter.
Peserta, Che Wan Aziz Che Wan Jusoh berkata beliau telah lama terlibat dengan aktiviti laut dan menyifatkan penyertaannya sebagai aktiviti santai.
“Saya sudah lama ke laut, sejak umur sembilan tahun. Sekarang umur 58, persiapan pun ala kadar sahaja, biasa-biasa. Ini sekadar suka-suka. Sasaran itu memang ada, tetapi semuanya rezeki Allah SWT,” katanya.
Sementara itu, peserta wanita, Ainul Mardhiah Mahadi berkata ini merupakan pengalaman pertamanya menyertai pertandingan tersebut.
“Ini pengalaman pertama saya datang ke pertandingan candat sotong ini. Saya teruja kerana belum pernah menyertai sebelum ini dan memang ingin melihat suasana di sini,” katanya.