
KUALA LUMPUR, 3 Mei – Pihak pengurusan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) digesa meneliti aspek keselamatan dan kebajikan pelajar secara menyeluruh susulan kes pembunuhan melibatkan seorang penuntut kolej itu di Ketereh, Kelantan.
- KPTM terus bertemu keluarga mangsa dan menawarkan sokongan sepenuhnya dalam urusan berkaitan arwah.
- Kes jenayah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan siasatan.
- Datuk Dr Asyraf menyatakan dukacita, terkejut dan mengucapkan takziah mewakili keluarga besar MARA.
- Mangsa ditemui maut dengan 61 kesan tikaman; tragedi itu disifatkan sangat menyayat hati.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata penelitian perlu ditumpukan untuk mengenal pasti dan menambah baik sebarang kelemahan agar kejadian seumpama itu tidak berulang.
“Di peringkat KPTM bila perkara ini berlaku memang mereka terus bertemu dengan pihak keluarga dan kita menawarkan semua bentuk sokongan bagi membantu pihak keluarga urusan yang terkait dengan arwah.
“Selebihnya kita serahkan kepada pihak polis kerana ini melibatkan kes jenayah yang kita amat terkejut dan saya mewakili keluarga besar MARA mengucapkan takziah dan peristiwa ini cukup menyayat hati kami dan sudah tentu berdukacita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan 60 Tahun MARA yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara.
Datuk Dr Asyraf Wajdi berkata demikian ketika mengulas berhubung tragedi pembunuhan penuntut kolej yang ditemukan maut dengan 61 kesan tikaman di Ketereh, Kelantan baru-baru ini.