
KUALA LUMPUR, 3 Mei – Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) merupakan agenda nasional penting dalam memastikan keadilan serta memperkasa golongan bumiputera sekali gus memastikan golongan itu mampu bersaing secara adil dalam landskap ekonomi nasional.
- Kerajaan komited melaksanakan PuTERA35 secara praktikal dan berkesan di semua peringkat.
- Arahan kepada agensi sediakan perancangan, latihan dan pemerkasaan kemahiran termasuk dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
- Pelan komprehensif dilancarkan 19 Ogod 2024 mengandungi 132 ikhtiar, tiga teras dan 12 pemacu.
- Strategi 2024-2035 tingkatkan penyertaan, pemilikan dan penguasaan bumiputera sejajar Ekonomi MADANI; kerajaan terbuka pada maklum balas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelan berkenaan menjadi bukti komitmen kerajaan dalam menterjemahkan agenda pemerkasaan bumiputera secara praktikal dan berkesan di semua peringkat pelaksanaan.
“Bagi kita, agenda Bumiputera sebagai agenda nasional amat penting dan perlu dipertahankan tanpa tolak ansur.
“Saya minta setiap badan mengemukakan perancangan masing-masing, khususnya dalam melatih Bumiputera, meningkatkan keupayaan, memperkasa usaha serta kemahiran mereka, termasuk dalam bidang kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan 60 Tahun MARA di ibu negara.
PuTERA35 yang dilancarkan pada 19 Ogod 2024 merupakan pelan komprehensif kerajaan bertujuan memperkasa ekonomi bumiputera melalui 132 ikhtiar, tiga teras dan 12 pemacu.
Pelan strategik 10 tahun (2024-2035) tersebut menyasarkan peningkatan penyertaan, pemilikan dan penguasaan bumiputera ke tahap lebih tinggi serta sejajar dengan Ekonomi MADANI.
Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa kerajaan sentiasa terbuka menerima pandangan serta teguran daripada pelbagai pihak, khususnya dalam mengenal pasti kelemahan dasar seperti dalam sektor perumahan yang perlu diperbaiki segera.