Pertingkat kesedaran, elak penduduk terlibat jenayah rentas sempadan – MCPF Kedah

Datuk Dr. Zulkifly Mohamad/RTM

BANDAR KAYU HITAM, 3 Mei- Agensi kerajaan yang berkaitan diseru mempertingkatkan usaha kesedaran masyarakat mengenai risiko dan implikasi penglibatan dalam jenayah rentas sempadan, kata Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kedah, Datuk Dr. Zulkifly Mohamad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jenayah rentas sempadan melibatkan sindiket terancang menyalahgunakan perbezaan undang-undang dan kawalan sempadan.
  • Aktiviti termasuk penyeludupan petrol dan diesel bersubsidi, dadah, senjata api, mercun, penyeludupan manusia dan barangan lain.
  • Penduduk sempadan diingatkan elak terlibat atau bersekongkol; tindakan undang-undang menanti dan ramai mungkin dimanipulasi tanpa sedar.

Menurutnya, antara aktiviti yang dikaitkan dengan jenayah tersebut termasuk penyeludupan petrol dan diesel bersubsidi ke negara jiran, selain dadah, senjata api, mercun, manusia serta pelbagai barangan lain.

“Agensi kerajaan perlu menyedarkan masyarakat mengenai risiko dan kesan sekiranya terlibat dalam aktiviti ini terhadap diri mereka. Dalam kalangan penduduk kampung di kawasan sempadan, ada yang tidak menyedari bahawa mereka mungkin dimanipulasi oleh pihak tertentu, termasuk melalui faktor ihsan dan belas kasihan seperti menumpangkan kenderaan.

“Justeru, dari sudut pendidikan, kesedaran perlu diberikan bahawa perbuatan tersebut tidak bertepatan dan merupakan kesalahan di sisi peraturan serta undang-undang negara,” katanya.

Sehubungan itu, penduduk di kawasan sempadan negara diingatkan supaya tidak terlibat atau bersekongkol dengan mana-mana aktiviti jenayah berkenaan kerana boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Datuk Dr. Zulkifly berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kesedaran NGO dan Masyarakat Dalam Memahami Jenayah Rentas Sempadan, Program Jaringan Siswazah Nusantara di Kampung Padang Satu, di sini, hari ini.