Rujuk media berautoriti, pilih sumber sahih

Profesor Datuk Dr. Ahmad Murad Merican

KUALA LUMPUR, 3 Mei – Rakyat Malaysia disaran merujuk kepada sumber media yang berautoriti dan berintegriti dalam landskap media masa kini yang menyaksikan percambahan pelbagai pandangan di platform digital.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lambakan pendapat tanpa pengesahan menjejaskan kepercayaan terhadap maklumat.
  • Peranan media arus perdana kekal penting sebagai sumber berautoriti dan berintegriti.
  • Masyarakat disaran merujuk institusi media sahih untuk mengesahkan maklumat dari media sosial.
  • Kewartawanan profesional wajib: pisahkan laporan daripada pandangan, tulis berita berasaskan fakta, utamakan perkhidmatan awam.

Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr. Ahmad Murad Merican berkata, lambakan pendapat tanpa pengesahan menjejaskan kepercayaan terhadap maklumat, sekali gus menghakis peranan institusi media tradisional sebagai penyampai berita sahih.

“Persekitaran media masa kini menyaksikan masyarakat setiap hari dibanjiri pelbagai pandangan dan pendapat melalui telefon pintar serta platform media sosial seperti Facebook.

“Namun, timbul persoalan mengenai kewujudan sumber pendapat yang benar-benar berautoriti. Sehubungan itu, peranan media arus perdana seperti akhbar, radio dan televisyen kekal penting sebagai sumber yang mempunyai kredibiliti dan autoriti dalam menyampaikan maklumat.

“Dari sudut integriti kewartawanan, masyarakat disaran untuk kembali merujuk kepada institusi media yang sahih bagi mengesahkan kebenaran sesuatu maklumat yang diperoleh daripada media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Wacana Media: Kebebasan Media – Siapa mengawal naratif? yang berlangsung secara dalam talian hari ini.

Institusi media tradisional mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan setiap maklumat yang disampaikan tepat, sahih serta berlandaskan prinsip kewartawanan.

Selain itu, media juga perlu mengekalkan profesionalisme dengan memisahkan laporan berita daripada pandangan peribadi, selain memastikan penulisan berita berasaskan fakta.

Pada masa sama, media penyiaran seperti radio dan televisyen diingatkan supaya terus berperanan sebagai medium perkhidmatan awam yang mengutamakan kepentingan rakyat.