Jangan terpengaruh tawaran badal haji dengan harga terlalu murah

Foto hiasan

JEDDAH, 3 Mei– Umat Islam di Malaysia diingatkan tidak terpengaruh dengan tawaran perkhidmatan badal haji pada harga terlalu murah, sehingga ada sekitar bawah 9,000 riyal yang jauh dari kos sebenar pengurusan ibadah Haji di Tanah Suci.

RINGKASAN BERITA AI
  • Berhati-hati dengan tawaran badal haji berharga terlalu rendah kerana mungkin tidak memenuhi rukun atau wajib haji.
  • Lakukan semakan teliti terhadap perkhidmatan badal haji dan pastikan kebolehpercayaan penyedia sebelum membuat pembayaran.
  • Kerajaan Arab Saudi memperketat penguatkuasaan, hanya jemaah dengan permit sah dibenarkan berada di Makkah.

Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Tengku Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir berkata harga ditawarkan itu tidak munasabah berikutan harga pakej haji yang ditawarkan kepada pemastautin di Arab Saudi mencecah sekitar 9,000 hingga 10,000 riyal.

“Sedikit nasihat sekiranya perkhidmatan tersebut ditawar dengan kos terlalu rendah. Contohnya sebab kita sedia maklum bahawa kos menunaikan haji tinggi. Jadi, sekiranya ditawarkan terlalu rendah, mungkin ada perkara tidak memenuhi rukun atau wajib haji.

“Justeru, kita menasihatkan rakyat Malaysia berhati-hati dan buat semakan dengan lebih telitit,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian selepas menyambut ketibaan 276 jemaah haji Malaysia kumpulan KT48 di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, di Jeddah hari ini.

Setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan membabitkan rakyat Malaysia yang terlibat dengan kes badal haji palsu atau penipuan.

Bagaimanapun terdapat beberapa kes dilaporkan media tempatan di Arab Saudi melibatkan cubaan menunaikan ibadah haji tanpa permit sah namun ia tidak melibatkan rakyat Malaysia.

Susulan itu, kerajaan Arab Saudi kini memperketat penguatkuasaan termasuk pemeriksaan di pintu masuk serta operasi di rumah persendirian dan hotel bagi memastikan hanya jemaah memiliki permit sah dibenarkan berada di Mekah.