
KUCHING, 3 Mei– Peluasan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi kenderaaan pengangkutan darat barangan di Sarawak, Sabah dan Labuan sebagai langkah tuntas kerajaan memastikan subsidi diesel disalurkan secara bersasar, telus dan berkesan.
- Perlu mekanisme telus untuk menyalurkan subsidi secara bersasar, berpandukan faktor logistik dan barangan berisiko kenaikan harga.
- Pengekangan kos pengangkutan melalui SKDS dijangka menstabilkan harga barangan dan mengurangkan punca utama kenaikan harga.
- Pendaftaran digital seperti 'fleet card' dapat mengurangkan ketirisan subsidi dan halang manipulasi pihak tidak bertanggungjawab.
Ahli Akademik, Hisyamuddin Basabah berpandangan usaha tersebut penting khususnya buat penduduk Borneo yang berdepan cabaran logistik yang lebih tinggi.
“Kerajaan persekutuan melihat perlu ada satu mekanisme yang benar-benar telus untuk masyarakat di Sabah, Sarawak dan Labuan.
“Pertama, ia berpandukan kepada faktor logistik. Kedua, berpandukan barangan yang kemungkinan akan naik,” katanya ketika ditemui RTM.
Mengulas lanjut katanya peluasan SKDS juga berupaya mengekang peningkatan kos pengangkutan sekaligus menstabilkan harga barangan.
“Sekiranya subsidi ini diberikan kepada masyarakat di Sabah, Sarawak dan Labuan maka secara logik, harga barangan tidak akan meningkat.
“Sebab harga barangan ini bermula dengan kos pengangkutan. Salah satu punca utama kepada kenaikan harga barangan adalah kos pengangkutan,” jelas beliau lagi.
Penggunaan sistem pendaftaran berasaskan digital seperti ‘fleet card’ diyakini dapat mengurangkan ketirisan subsidi di samping mengelak manipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Permohonan pendaftaran SKDS di Sarawak, Sabah dan Labuan akan dibuka mulai esok (4 Mei) dengan pendaftaran boleh dibuat menerusi portal MySubsidi bermula 9 pagi.