
BANGI, 3 Mei – Asian Music Games (AMG) 2026 membawa pembaharuan dalam dunia seni pancaragam dengan memperkenalkan format pertandingan berkonsepkan sukan yang pertama seumpamanya di Asia.
- Keputusan diumumkan dalam tiga minit selepas setiap persembahan; papan kedudukan (leaderboard) memaparkan kedudukan peserta secara langsung.
- Universiti Kebangsaan Malaysia dipilih sebagai rakan strategik, menyediakan fasiliti pertandingan dan latihan untuk pembangunan seni pancaragam.
- AMG 2026 akan diadakan di Kuala Lumpur pada 4 hingga 13 September, menghimpunkan pancaragam dan orkestra dari seluruh Asia.
- Pertandingan melibatkan institusi pengajian tinggi dan rendah, memberi ruang kepada pemuzik muda berkongsi inovasi dan mengembangkan bakat.
Pengerusi Yayasan Amanah Industri Kreatif Kebangsaan, Datuk Zulkifli Ishak berkata, AMG mengetengahkan pendekatan inovatif apabila pertandingan pancaragam dinilai berteraskan format sukan yang lebih dinamik dan kompetitif.
“Program AMG ini kita panggil Asian Music Games, dan kita membawa konsep pertandingan pancaragam berteraskan sukan.
“Setiap persembahan akan dinilai, dan dalam tempoh tiga minit selepas persembahan tamat, keputusan akan diumumkan. Kita juga akan mempunyai ‘leaderboard’ yang memaparkan kedudukan peserta secara langsung, atau live, dari semasa ke semasa.
“Ini merupakan satu konsep baharu dalam pertandingan pancaragam yang belum pernah dilaksanakan di mana-mana sebelum ini,” katanya.
Berliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa sesi kelayakan Asian Music Games (AMG) 2026 yang akan mewakili Malaysia di Universiti Kebangsaan (UKM) di sini hari ini.
UKM memainkan peranan sebagai pusat pembangunan seni pancaragam apabila dipilih sebagai rakan strategik utama penganjuran AGM, disamping menyediakan fasiliti pertandingan dan latihan bagi mengangkat seni pancaragam sebagai cabang persembahan bertaraf antarabangsa.
AMG 2026 akan diadakan di Kuala Lumpur pada 4 hingga 13 September yang menghimpunkan pancaragam dan orkestra dari seluruh Asia, termasuk institusi pengajian tinggi dan rendah bagi membuka ruang kepada pemuzik muda mengembangkan bakat, berkongsi inovasi seni dan memperkasa budaya pancaragam di peringkat serantau.