fb fb fb fb fb

Perpaduan dan kestabilan benteng hadapi cabaran global

Foto Facebook Datuk Seri Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR, 31 Disember - Malaysia berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.2 peratus pada suku ketiga 2025, meningkat berbanding 4.4 peratus pada suku kedua, hasil prestasi kukuh merentas semua sektor utama ekonomi negara.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pencapaian itu adalah hasil semangat kebersamaan dan kerjasama erat antara kerajaan, penjawat awam, sektor swasta serta seluruh rakyat Malaysia.

“Setinggi-tinggi kesyukuran atas segala nikmat dan kekuatan yang membolehkan kita mengharungi pelbagai cabaran sepanjang tahun 2025. Berkat semangat ‘segulai sejalai’ antara kerajaan dan rakyat, Malaysia mampu mendepani apa jua cabaran untuk terus melangkah maju,” katanya.

Beliau turut menegaskan meskipun perjalanan Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini memasuki usia tiga tahun dan masih berdepan pelbagai cabaran, kerajaan kekal komited memberikan khidmat terbaik demi kesejahteraan rakyat.

“Perjalanan ini bukan mudah dan masih panjang, namun kerajaan akan terus komited demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia,” jelasnya.

Mengulas perkembangan global, Datuk Seri Fadillah berkata beberapa negara utama dunia masih berdepan tekanan ekonomi termasuk krisis kos sara hidup di United Kingdom dan Jerman, inflasi berpanjangan di Argentina serta pemulihan rapuh pasca krisis hutang di Sri Lanka.

Selain itu, ketegangan geopolitik dan konflik berpanjangan di Asia Barat turut memberi kesan terhadap keselamatan tenaga dan rantaian bekalan global.

“Iktibar untuk Malaysia jelas, kestabilan politik, perpaduan rakyat dan pengurusan ekonomi yang berhemah adalah benteng utama negara dalam menghadapi cabaran global yang tidak menentu,” katanya.

Beliau turut menyentuh kejayaan Malaysia sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, yang diiktiraf antara penganjuran terbaik serta berjaya mengembalikan fokus ASEAN kepada keutamaan bersama seperti kestabilan ekonomi, keselamatan makanan dan tenaga.

“Kepengerusian ASEAN 2025 bukan sahaja mengangkat imej Malaysia di mata dunia, malah mengukuhkan kedudukan negara sebagai rakan strategik yang dipercayai,” ujarnya.

Dalam pada itu, Datuk Seri Fadillah berkata Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 (AMEM-43) mencatat pencapaian bersejarah termasuk pelancaran Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) 2026–2035, pemeterian ASEAN Power Grid Enhanced MoU, ASEAN Petroleum Security Agreement, serta pelancaran ASEAN Power Grid Financing Initiative dengan kerjasama ADB dan Bank Dunia.

“Ini bukan sekadar kejayaan diplomatik, tetapi manifestasi kepimpinan Malaysia dalam memacu agenda peralihan tenaga ASEAN ke arah masa depan yang inklusif dan lestari,” katanya.

Mengakhiri kenyataan, beliau menyeru rakyat Malaysia agar terus memperkukuh perpaduan dan kebersamaan menjelang tahun baharu.

“Insya-Allah, kita akan menginjak ke tahun 2026 dengan semangat dan kebersamaan yang lebih kuat lagi demi negara tercinta,” katanya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD