
SENDAYAN, 15 Mei – Syarat lulus Bahasa Melayu (BM) dan Sejarah di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), akan diguna pakai secara menyeluruh untuk pelajar menyambung pengajian di Institut Pengajian Tinggi Awam, (IPTA).
- Kerajaan memutuskan syarat lulus Bahasa Melayu dan Sejarah SPM diterima dan diguna pakai secara menyeluruh.
- Keputusan Kabinet memberi ruang pelaksanaan secara berperingkat bagi beberapa kursus tertentu.
- Peraturan bukan sahaja terpakai kepada UEC tetapi juga kepada sekolah Arab dan sekolah menengah tahfiz.
- Perincian pelaksanaan untuk sekolah antarabangsa yang mempunyai pelajar Malaysia sedang dibincangkan.
Ini termasuk melibatkan pelajar sekolah antarabangsa, sekolah Arab dan sekolah menengah tahfiz.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memberitahu, keputusan berkenaan telah dipersetujui Kabinet dengan memberi ruang kepada pelaksanaan secara berperingkat bagi beberapa kursus tertentu.
“Keputusan Kabinet semalam menetapkan syarat Bahasa Melayu dan Sejarah SPM diterima. Kerajaan memberi ruang, walaupun mungkin melibatkan beberapa kursus dahulu kerana sebelum ini perkara berkenaan, tidak dipersetujui.
“Sekarang apabila sekolah aliran Cina menerima, kerajaan menerima baik. Ini bukan sahaja terpakai kepada UEC, tetapi juga sekolah Arab dan sekolah menengah tahfiz,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Belia Negara 2026 Peringkat Kebangsaan.
Beliau turut menjelaskan, syarat sama turut melibatkan sekolah antarabangsa yang mempunyai pelajar Malaysia dengan beberapa perincian sedang dibincangkan.