Perketat penguatkuasaan, banteras ancaman penyeludupan e-waste haram

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup

BANGI, 15 April – Malaysia masih berisiko menjadi sasaran aktiviti penyeludupan haram sisa elektronik (e-waste) terutamanya dari negara luar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penubuhan cawangan khas penguatkuasa JAS di kawasan pelabuhan untuk mengekang aktiviti penyeludupan sisa elektronik haram.
  • Penambahan kakitangan penguatkuasaan diberi keutamaan; perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum cawangan khas direalisasikan.
  • Cadangan pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk memperluas dan memperkukuh bidang kuasa JAS bagi penguatkuasaan lebih berkesan.
  • Pemanfaatan teknologi canggih termasuk pasukan selam, dron dan kecerdasan buatan bagi memantau dan mempertingkat operasi penguatkuasaan.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, satu cawangan khas penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan ditubuhkan di kawasan pelabuhan bagi mengekang aktiviti tersebut.

“Usaha menambah bilangan kakitangan penguatkuasaan turut diberi keutamaan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja yang semakin meningkat selaras dengan pertambahan tugasan.

“Permohonan berkaitan perkara ini kini berada dalam proses pertimbangan, dan dijangka satu kertas cadangan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat,” katanya selepas Majlis Sambutan Hari Penguatkuasa JAS Ke-51 di Bangi Aveneu Convention Centre, hari ini.

Tambahnya lagi, penambahan kakitangan perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebagai langkah asas sebelum penubuhan cawangan khas tersebut dapat direalisasikan.

“Pihak NRES juga sedang melaksanakan beberapa inisiatif penambahbaikan di bawah JAS termasuk cadangan pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) bagi memperluas serta memperkukuh bidang kuasa JAS, agar penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Operasi JAS turut diperkasa melalui pemanfaatan teknologi yang lebih canggih. Ini termasuk penubuhan pasukan selam (scuba) bagi pemantauan di dalam air, serta peningkatan penggunaan dron dan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi penguatkuasaan,” katanya.

Menurut Datuk Seri Arthur, pendekatan tersebut penting bagi memastikan JAS sentiasa selangkah di hadapan dalam menangani jenayah alam sekitar.

Terdahulu, sebanyak 213 kontena telah diperiksa di pintu masuk negara melalui Ops Bongkar, 103 kontena daripadanya disahkan mengandungi sisa e-waste secara haram.

JAS turut melaksanakan Op Hazard 3.0 melibatkan pemeriksaan ke atas 104 premis yang beroperasi di luar kerangka undang-undang.

Hasil operasi ini, kira-kira 4,714 tan metrik e-waste bernilai jutaan ringgit telah disita.

Langkah itu diambil bagi memastikan negara tidak menjadi destinasi pelupusan haram sisa e-waste, sekali gus melindungi alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.