Kerajaan percepat penyasaran subsidi diesel, MOF bentang perincian minggu depan

Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Fahmi Fadzil bercakap mengenai taklimat krisis tenaga global pada sidang media mingguan Kabinet di Putrajaya hari ini/BERNAMA

PUTRAJAYA, 15 AprilPerdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta Kementerian Kewangan (MOF) untuk meneliti segera proses penyasaran subsidi diesel dengan menggunakan mekanisme seperti yang telah dilaksana bagi BUDI95.

RINGKASAN BERITA AI
  • MOF diminta membentangkan perincian penyasaran subsidi diesel pada mesyuarat MTEN Selasa atau mesyuarat Kabinet Rabu depan.
  • Kerajaan meneliti mekanisme tukar agihan BUDI Diesel Individu dari pindahan tunai kepada mekanisme serupa BUDI95.
  • Jemaah Menteri menimbang naikkan campuran biodiesel dari B10 ke B15 bermula B12 tanpa kos tambahan, guna infrastruktur sedia ada.
  • Infrastruktur pengadunan B20 meliputi seluruh Sarawak kecuali Bintulu, termasuk Labuan dan Langkawi; lawatan tapak diketuai Menteri Ekonomi.

Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata MOF turut diminta untuk membentangkan perincian mengenai proses berkenaan sama ada pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) Selasa depan atau mesyuarat Kabinet pada Rabu.

Beliau berkata, kerajaan juga sedang meneliti mekanisme terbaik untuk mengubah cara pengagihan subsidi BUDI Diesel Individu yang ketika ini dalam bentuk pindahan tunai kepada mekanisme sama yang digunakan bagi BUDI95.

“Pihak Kementerian Kewangan akan diminta untuk membentangkan perkara tersebut sama ada dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara atau mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu hadapan.

“Dan kita jangka bila tiba masanya nanti, ini akan dapat membantu terutama bagi rakyat Malaysia, contohnya yang memandu kenderaan seperti trak pikap. Jadi caranya lebih mudah, lebih efisien dan berkesan kalau kita lihat pada cara pelaksanaan BUDI95,” katanya dalam taklimat krisis tenaga global dan sidang media pasca mesyuarat Kabinet, di sini.

Dalam pada itu, Datuk Fahmi berkata, lokasi infrastruktur biodiesel B20 ketika ini meliputi seluruh Sarawak kecuali di Bintulu selain Labuan dan Langkawi.

“Jemaah Menteri turut meneliti kadar adunan biodiesel yang akan ditingkatkan daripada B10 kepada B15, bermula dengan adunan B12, tanpa melibatkan sebarang kos tambahan kepada kerajaan dan hanya menggunakan infrastruktur pengadunan biodiesel sedia ada,” katanya.

Menurutnya, kerajaan akan meneliti langkah-langkah seterusnya selain mengadakan lawatan yang akan diketuai Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir ke lokasi berkenaan, pada Sabtu.

Tinjauan itu dibuat bagi melihat bahan asas yang digunakan dalam proses pengadunan biodiesel tersebut.