Penyalahgunaan PPR jejas matlamat asal – Johari

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 19 Julai – Isu pemilik Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang menyewakan kediaman kepada pihak luar termasuk warga asing perlu dipandang serius kerana menjejaskan matlamat asal pembinaan perumahan tersebut dalam membantu golongan berpendapatan rendah.

RINGKASAN BERITA AI
  • DBKL menghentikan penjualan PPR kerana penyalahgunaan oleh segelintir pemilik.
  • Pemilik gagal bayar penyelenggaraan dan menyewakan unit, bertentangan tujuan asal PPR.
  • Cadangan bina projek perumahan baharu untuk penghuni PPR yang mahu memiliki kediaman sendiri.
  • Kira-kira 70,000 pemohon masih menunggu giliran sementara sebilangan pemilik memilih menyewakan unit.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menghentikan penjualan rumah tersebut adalah tepat ekoran berlaku penyalahgunaan oleh segelintir pemilik.

Katanya, jumlah sewaan asal berharga RM124 sebulan boleh mencecah sehingga RM1,000 sebulan atas sikap pemilik yang tidak bertanggunjawab dan mengambil kesempatan.

“Apabila rumah itu menjadi hak milik, ada yang gagal membayar kos penyelenggaraan dan menyewakannya kepada pihak lain termasuk warga asing. Ia bercanggah dengan tujuan asal PPR diwujudkan,” katanya.

Datuk Seri Johari berkata demikian selepas menghadiri Majlis Sarapan Pagi dan Beramah Mesra bersama penduduk PPR Perkasa di Kuala Lumpur.

Tambahnya, penjualan PPR masih boleh dipertimbangkan kepada pemohon yang benar-benar layak dengan mekanisme yang lebih tersusun.

Datuk Seri Johari turut mencadangkan kerajaan membangunkan projek perumahan baharu khusus bagi penghuni PPR yang berhasrat memiliki kediaman sendiri.

Beliau turut mencadangkan DBKL menjalankan kaji selidik mengikut blok PPR bagi mendapatkan persetujuan majoriti penduduk sebelum sebarang keputusan penjualan dibuat.

Kesemua cadangan berkenaan akan dikemukakan secara rasmi kepada DBKL bagi membantu menyelesaikan isu penyewaan dan pemilikan PPR.

Sehingga kini, terdapat kira-kira 70,000 pemohon masih menunggu giliran untuk mendapatkan unit PPR, namun pada masa sama terdapat pemilik sedia ada yang memilih menyewakan rumah masing-masing berbanding menyerahkannya semula kepada DBKL.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.