
IPOH, 19 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberikan penjelasan berkenaan isu kerugian membabitkan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat eFishery, Indonesia di Dewan Negara, esok.
- Penjelasan mengenai isu KWAP akan dibuat berdasarkan fakta sebenar, tanpa alasan.
- KWAP di bawah kerajaan tetapi diurus sebagai entiti kewangan dengan panel pelaburan dan lembaga sendiri.
- KWAP melabur kira-kira AS$47.7 juta dalam pusingan pembiayaan eFishery pada 2023.
- MOF berkata pelaburan dipercayai mangsa penipuan; konsortium mengambil tindakan undang-undang, pemulihan dana, dan semakan tatakelola.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, penjelasan itu akan dibuat berdasarkan fakta sebenar tanpa sebarang alasan mengenai pelaburan berkenaan.
“KWAP itu betul, ia di bawah kerajaan secara keseluruhannya. Tetapi ia adalah syarikat kewangan yang menguruskan dana pencen dan mempunyai panel pelaburan serta lembaga sendiri.
“Mereka tidak melaporkan terus kepada kita. Saya tidak mahu memberi alasan sekarang, biarlah fakta sebenar dijelaskan di Parlimen esok,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Program Madani Kita Bersama Komuniti Tambun di Dewan Komuniti Taman Perpaduan, di sini, hari ini.
Jelas Datuk Seri Anwar, KWAP mempunyai struktur tadbir urus sendiri dalam menguruskan dana persaraan negara, termasuk lembaga pengarah dan panel pelaburan yang membuat keputusan berkaitan pelaburan.
Media sebelum ini melaporkan syarikat teknologi perikanan Indonesia, eFishery, sedang disiasat susulan dakwaan penyelewengan kewangan, termasuk manipulasi penyata kewangan.
Menurut laporan DealStreetAsia, KWAP dilaporkan melabur kira-kira AS$47.7 juta (hampir RM200 juta), dalam pusingan pembiayaan Siri D eFishery pada 2023.
Terdahulu, Kementerian Kewangan (MOF) dalam jawapan bertulis di Parlimen memaklumkan, pelaburan KWAP dalam eFishery dipercayai menjadi mangsa penipuan terancang susulan manipulasi laporan kewangan oleh pihak pengurusan syarikat berkenaan.
Menurut MOF, konsortium pelabur termasuk KWAP telah mengambil beberapa langkah, antaranya tindakan undang-undang, pemulihan dana, semakan tatakelola dalaman serta memperkukuh kawalan bagi melindungi kepentingan pelaburan.