
KUALA LUMPUR, 6 Oktober – Penyakit jantung iskemik (IHD) kekal sebagai punca utama kematian di Malaysia dengan 17,421 kematian direkodkan pada 2024.
- Diabetes dan hipertensi adalah faktor risiko utama penyakit kardiovaskular, menurut Kementerian Kesihatan.
- Kedua-dua penyakit semakin berlaku dalam kalangan golongan muda dan biasanya tidak menunjukkan gejala pada peringkat awal.
- Bagi 18 hingga 29 tahun, lebih lapan daripada 10 kes diabetes dan hipertensi masih belum diketahui atau didiagnosis.
- Akses saringan diperluaskan melalui sektor swasta dan Skim PeKa B40; 2,041,010 individu umur 40 tahun ke atas disaring dari 2019 hingga 31 Ogos 2026.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, diabetes dan hipertensi merupakan antara faktor risiko utama penyakit kardiovaskular berkenaan.
Katanya, keadaan itu membimbangkan kerana kedua-dua penyakit berkenaan semakin berlaku dalam kalangan golongan muda dan lazimnya tidak menunjukkan gejala pada peringkat awal.
“Bagi kumpulan umur 18 hingga 29 tahun, dianggarkan seramai 192,464 orang menghidap diabetes dan 339,853 orang menghidap hipertensi.
“Namun, lebih lapan daripada 10 kes bagi kedua-dua penyakit masih belum diketahui atau didiagnosis. Bagi kumpulan umur 30 hingga 39 tahun, dianggarkan seramai 378,508 orang menghidap diabetes dan 938,865 orang menghidap hipertensi,” katanya.
Tambah beliau, dalam kumpulan ini, lebih enam daripada 10 kes diabetes dan lebih tujuh daripada 10 kes hipertensi masih belum diketahui atau didiagnosis.
Beliau berkata demikian di Parlimen ketika menjawab soalan Mohd Misbahul Munir Masduki (Parit Buntar) mengenai strategi Kementerian Kesihatan dalam menangani peningkatan kes diabetes dan hipertensi dalam kalangan belia bawah 40 tahun.
Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Dzulkefly berkata, akses kepada saringan turut diperluaskan melalui sektor swasta, termasuk menerusi Skim PeKa B40 yang melibatkan 4,455 klinik panel di seluruh negara.
Bagi tempoh 2019 hingga 31 Ogos 2026, seramai 2,041,010 individu berumur 40 tahun ke atas serta pasangan telah menjalani saringan menerusi skim berkenaan.