
KUALA LUMPUR, 6 Oktober – Sebanyak 12 daripada 13 Kampung Orang Asli (KOA) di Parlimen Jelebu, Negeri Sembilan telah diwartakan dengan keluasan keseluruhan kira-kira 800.56 hektar.
- Satu kampung lagi akan diukur oleh Jurukur Tanah Berlesen pada 2026 untuk tujuan permohonan pewartaan kepada Pihak Berkuasa Negeri.
- Kerajaan melaksanakan projek kemudahan asas berperingkat termasuk naik taraf bekalan air, infrastruktur, baik pulih jalan dan rumah.
- Bantuan ekonomi disediakan seperti geran usahawan RM9,000 hingga RM35,000, Geran Koperasi sehingga RM200,000 dan pembiayaan Modenisasi Pertanian.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, baki satu kampung lagi akan diukur Jurukur Tanah Berlesen tahun ini bagi membolehkan permohonan pewartaan dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Negeri.
Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah melantik Jurukur Tanah Berlesen bagi melaksanakan kerja pengukuran kampung berkenaan pada 2026.
“Daripada 13 buah Kampung Orang Asli di Parlimen Jelebu, sebanyak 12 kampung dengan anggaran keluasan 800.56 hektar telah diwartakan di bawah Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) dan Kanun Tanah Negara 1965.
“Bagi baki satu kampung yang belum diwartakan, JAKOA telah melantik Jurukur Tanah Berlesen untuk melaksanakan kerja pengukuran pada tahun 2026 bagi tujuan permohonan pewartaan kepada Pihak Berkuasa Negeri,” katanya.
Datuk Rubiah berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Jelebu mengenai penyelesaian isu pengiktirafan tanah, kemudahan asas dan peluang ekonomi masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan turut melaksanakan pelbagai projek kemudahan asas di kawasan Orang Asli secara berperingkat, termasuk menaik taraf sistem bekalan air dan infrastruktur, membaik pulih jalan serta rumah.
Bagi memperkukuh ekonomi masyarakat Orang Asli, katanya, kerajaan turut menyediakan geran usahawan antara RM9,000 hingga RM35,000 serta Geran Koperasi sehingga RM200,000.
Selain itu, Program Modenisasi Pertanian turut ditawarkan dengan pembiayaan antara RM5,000 hingga RM300,000, meliputi pelbagai skop bantuan bagi meningkatkan pendapatan dan mengembangkan ekonomi setempat.