fb fb fb fb fb

Penubuhan GITC bukti kerajaan serius martabatkan TVET

KUALA LUMPUR, 4 Februari - Penubuhan Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri (GITC) akan memperkukuh usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran yang menepati keperluan industri.

Ia sejajar hasrat negara membangunkan aktiviti ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi, dibantu sumber tenaga mahir.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran, Mohammad Rizan Hassan berpendapat, semua inisiatif yang digariskan dalam Mesyuarat Majlis TVET Negara semalam, menandakan keseriusan kerajaan memartabatkan bidang tersebut.

Namun, semua pihak berkepentingan perlu serius merealisasi usaha berkenaan, sekali gus menghakis stigma TVET hanya pendidikan atau kerjaya kelas kedua.

"Ini termasuk pemahaman kepada kaunselor kerjaya di sekolah tentang kerjaya masa hadapan yang memerlukan lebih ramai teknologis TVET untuk industri dan negara.

"Akses kepada kumpulan terpinggir seperti golongan belia NEET iaitu Not In Employment Education Training untuk menyertai TVET perlu diperluas supaya TVET bukan sahaja sebagai pilihan utama tetapi pilihan untuk semua rakyat Malaysia," kata Rizan kepada wartawan di sini.

Ketua Penyelidik Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF), Prof Madya Dr Baharom Abdul Hamid pula berpandangan, penekanan terhadap TVET akan memastikan bidang teknikal negara kekal mampan dan berdaya saing, seiring Revolusi Industri 4.0.

"Di kala negara ingin menerima atau menawarkan ataupun ingin menarik pelaburan FDI di dalam bidang-bidang berteknologi tinggi, maka kita perlu memastikan bahawa negara kita menyediakan prasarana, selain daripada infrastruktur yang sesuai.

"Kita juga harus menyediakan tenaga buruh mahir dalam bidang-bidang seperti robotic, big data analitik, automasi dan sebagainya'" kata Prof Madya Dr Baharom.

Tambahnya, pemerkasaan TVET perlu menjadi agenda nasional, sejajar aspirasi menjadi negara berteknologi tinggi menjelang 2030.

Media Baharu