
PERAI, 4 September – Tiada kompromi akan diberikan kepada mana-mana penternak babi yang melepaskan sisa kumbahan secara haram sehingga mencemarkan parit dan sungai di Kampung Selamat, Tasek Gelugor.
- DVS akan memantau setiap minggu, jalankan siasatan selepas aduan, dan keluarkan saman serta bawa kes ke mahkamah.
- Semua pengusaha diwajibkan hantar sisa kumbahan ke loji biogas Ampang Jajar; tempoh enam hingga lapan bulan untuk kosongkan sisa lama.
- Setelah pengosongan selesai, JPS akan bersihkan Parit Cina; tindakan disokong oleh pengambilan sampel air untuk bukti saintifik.
Exco Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang H’ng Mooi Lye menegaskan tindakan saman dan pendakwaan mahkamah akan diambil menerusi pemantauan berkala Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) setiap minggu.
“Sekiranya mereka mencuri untuk melepaskan sisa ke dalam parit, apabila menerima aduan, pegawai DVS akan turun menjalankan siasatan.
“Apabila didapati melanggar syarat ditetapkan, saman akan dikeluarkan dan kes dibawa ke mahkamah supaya tindakan tegas dapat diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian pembukaan kilang Skygate NHJ Technology Sdn Bhd di sini.
Kesemua pengusaha ladang kini diwajibkan menghantar sisa kumbahan ke loji biogas Ampang Jajar, selain diberi tempoh enam hingga lapan bulan bermula Mei lalu untuk mengosongkan sisa mendapan lama di premis masing-masing.
Apabila fasa pengosongan sisa bertakung selesai, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan melaksanakan kerja pembersihan di Parit Cina mengikut model kejayaan pemulihan Sungai Valdor.
Kenyataan itu bagi memberi maklum balas berhubung langkah Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mengumpul sampel air di Parit Cina untuk mendapatkan bukti saintifik.