
KOTA TINGGI, 4 Sept – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diseru memasang papan tanda dan bendera merah di semua pantai di Desaru, Kota Tinggi, Johor sebagai tanda amaran larangan mandi di kawasan berkenaan bagi memastikan keselamatan pengunjung.
- Azalina menegaskan pantai tidak sesuai untuk mandi kerana angin dan ombak kuat.
- Pencarian enam remaja masih diteruskan; keluarga bergilir mencari hingga ke Tanjung Balau.
- Komuniti dan sekolah mengadakan solat Dhuha dan solat hajat, sedia membantu keluarga jika mangsa belum ditemui.
Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah itu penting bagi memberi peringatan jelas kepada pengunjung supaya tidak mandi di kawasan pantai yang berisiko.
Beliau menegaskan perkara tersebut susulan kejadian lemas membabitkan enam remaja di Pantai Tanjung Lompat, Kota Tinggi, baru-baru ini.
Menurut beliau lagi, keadaan angin dan ombak yang kuat ketika ini menyebabkan pantai berkenaan tidak sesuai dijadikan lokasi mandi-manda.
“Jadi saya minta sangat pada keluarga dalam masa cuti sekolah ini, laut ini tak payahlah buat berendam (bermandi-manda). Walaupun nak dekat bulan sembilan, angin dia pun kuat,” katanya.
Sementara itu, bapa saudara kepada mangsa yang masih belum ditemui, Sharizal Ibrahim berkata, usaha pencarian masih diteruskan dan keluarga berharap anak saudaranya segera ditemukan.

Katanya, ahli keluarga bergilir-gilir melakukan pencarian termasuk di kawasan pantai hingga ke tengah batu dan Tanjung Balau.
“Kita memang tak tidurlah, senang cakap. Memang tukar-tukar dengan adik pergi sana, keluar lewat pantai ini semua. Carilah sampai ke tengah batu sana, ke Tanjung Balau sana,” katanya.
Dalam pada itu, Guru Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan Taman Putri Wangsa, Mohd Azroy Azhar berkata, pihaknya turut berikhtiar membantu keluarga menerusi pelaksanaan solat Dhuha dan solat hajat.
Katanya, usaha itu dilaksanakan selama dua hari dan pihaknya bersedia membantu sekiranya pencarian masih belum menemui mangsa.
“Insya-Allah kami ikhtiar hanya dua hari sahaja, semalam dan hari ini. Dan esok pun mungkin anak-anak ini ada peperiksaan. Jadi, insya-Allah sekiranya masih tidak dijumpai lagi, pihak keluarga boleh berhubung dengan kami,” katanya.