
KUCHING, 4 Sept – Sebanyak 647 sekolah rendah dan menengah di Sarawak akan ditutup sementara selama lima hari bermula 7 hingga 11 September berikutan keadaan jerebu yang menyebabkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di beberapa kawasan negeri itu berada pada paras tidak sihat.
- 563 sekolah rendah (108,477 murid) dan 84 sekolah menengah (90,082 murid) ditutup sementara.
- Sekolah terlibat di bawah seliaan 12 PPD termasuk Kuching, Padawan, Bau, Lundu, Samarahan, Simunjan, Serian, Sri Aman, Lubok Antu, Kanowit, Julau, Meradong.
- PdPR akan dilaksanakan sepanjang penutupan bagi memastikan kesinambungan proses pembelajaran murid.
- JPN mengingatkan pematuhan SOP, garis panduan KPM, saranan KKM dan pemantauan IPU melalui APIMS bagi keselamatan kesihatan.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, penutupan itu membabitkan 563 sekolah rendah dengan 108,477 murid serta 84 sekolah menengah melibatkan 90,082 murid.
“Kesemua sekolah berkenaan berada di bawah seliaan 12 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), iaitu PPD Kuching, Padawan, Bau, Lundu, Samarahan, Simunjan, Serian, Sri Aman, Lubok Antu, Kanowit, Julau dan Meradong,” menurut kenyataan itu.
JPN Sarawak memaklumkan, keputusan tersebut dibuat berdasarkan pemantauan berterusan bacaan IPU sepanjang cuti persekolahan serta laporan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.
Sehubungan itu, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan sepanjang tempoh penutupan sementara bagi memastikan proses pembelajaran murid dapat diteruskan.
JPN Sarawak berkata, pihaknya sentiasa menitikberatkan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, khususnya ketika berdepan keadaan cuaca panas atau keadaan cuaca luar jangka.
“Sebarang perubahan atau maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” kata JPN.
Pihak sekolah turut diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang tempoh berlakunya jerebu.
Pada masa sama, semua institusi pendidikan di bawah seliaan JPN Sarawak dinasihatkan mematuhi garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan pelaksanaan aktiviti luar ketika cuaca panas.
Institusi pendidikan juga diminta sentiasa memantau perkembangan tahap IPU di kawasan masing-masing menerusi Air Pollutant Index Management System (APIMS) Jabatan Alam Sekitar serta mematuhi saranan Kementerian Kesihatan Malaysia dari semasa ke semasa.
JPN Sarawak menegaskan pihaknya akan terus memberi keutamaan kepada aspek kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga pendidikan sepanjang tempoh berdepan fenomena jerebu.