
KUALA LUMPUR, 4 September – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenan perisytiharan darurat di Serian, Sarawak susulan keadaan jerebu yang mencapai tahap pencemaran udara membahayakan kesihatan dan keselamatan orang ramai.
- Keputusan dibuat selepas mengambil kira nasihat Perdana Menteri, Premier Sarawak dan agensi berkaitan tentang tahap kualiti udara.
- Pejabat Perdana Menteri memaklumkan langkah akan dilaksana lebih berkesan melindungi kesihatan dan kebajikan penduduk terjejas.
- Kerajaan akan terus memantau perkembangan dan melaksanakan tindakan segera termasuk mitigasi serta penyampaian nasihat kesihatan.
- APIMS 5 petang merekod IPU Serian 514, Kuching 313, Samarahan 288 dan Sri Aman 239; beberapa lokasi lain tidak sihat.
Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta agensi berkaitan mengenai tahap kualiti udara di kawasan berkenaan.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan, langkah yang perlu akan dilaksana dengan lebih berkesan bagi melindungi kesihatan serta kebajikan penduduk terjejas.
“Kerajaan juga akan terus memantau perkembangan dari semasa ke semasa dan memastikan tindakan diperlukan dilaksanakan segera, termasuk langkah mitigasi serta penyampaian maklumat dan nasihat kesihatan kepada orang ramai,” menurut PMO.
Berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) setakat 5 petang, IPD Serian kekal merekodkan kualiti udara pada tahap berbahaya dengan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) 514.
Kuching turut berada pada tahap berbahaya dengan bacaan 313, manakala Samarahan mencatat 288 dan Sri Aman 239, masing-masing pada tahap sangat tidak sihat.
Sebanyak 13 lokasi pula merekodkan IPU tidak sihat, termasuk Sarikei (183), Sibu (181), Mukah (178), Bintulu (159), Samalaju (153) dan Institut Latihan Perindustrian Miri (152) di Sarawak.
Lokasi lain yang berada pada tahap tidak sihat ialah Tawau (153), Politeknik Kota Kinabalu (151) dan Sandakan (128) di Sabah serta Pasir Gudang (151), Kota Tinggi (129), Larkin (126) dan Segamat (116) di Johor.
Dalam tempoh sama, 38 lokasi merekodkan bacaan IPU sederhana manakala 13 lagi berada pada tahap baik.