FGV lancar tiga inovasi pertanian baharu di MAHA 2026

Foto ihsan FGV Holdings Berhad

SERDANG, 3 September – FGV Holdings Berhad (FGV) melancarkan tiga inovasi pertanian baharu yang dibangunkan menerusi kepakaran penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalaman kumpulan, bagi memperkukuh penggunaan teknologi dalam meningkatkan kecekapan sektor pertanian.

RINGKASAN BERITA AI
  • BacN-Fix: penggalak pertumbuhan berasaskan bakteria yang meningkatkan kecekapan penyerapan nutrien oleh tanaman.
  • Adjuvax 248 meningkatkan keberkesanan racun perosak dan rumpai serta mengurangkan pembaziran input pertanian.
  • FGV Geotagger Pro membolehkan pemetaan ladang lebih tepat dengan ketepatan sekitar satu hingga 10 sentimeter, sokong pengurusan data.
  • Ketiga-tiga inovasi telah dikomersialkan; FGV membuka peluang kerjasama dengan pemain industri, pekebun kecil dan pengusaha pertanian.

Tiga inovasi berkenaan ialah BacN-Fix, Adjuvax 248 dan FGV Geotagger Pro yang dilancarkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026.

Majlis pelancaran itu turut disaksikan Pengarah Besar FELDA, Datuk Dr Suzana Idayu Wati Osman.

Pengarah Urusan Kumpulan FGV, Nurul Muhaniza Hanafi berkata,pemodenan sektor pertanian memerlukan kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan inovasi dan teknologi dapat memberi nilai tambah kepada industri serta pekebun kecil.

Menerusi satu kenyataan, beliau berkata, FGV bersedia menterjemahkan pengalaman operasi dan kepakaran R&D syarikat kepada inovasi yang memberi manfaat lebih luas kepada sektor pertanian.

BacN-Fix merupakan penggalak pertumbuhan tumbuhan berasaskan bakteria bermanfaat yang membantu meningkatkan kecekapan penyerapan nutrien oleh tanaman.

Adjuvax 248 pula membantu meningkatkan keberkesanan penggunaan racun perosak dan racun rumpai, selain mengurangkan pembaziran input pertanian.

Sementara itu, FGV Geotagger Pro membolehkan pemetaan dan penentududukan ladang dilakukan dengan lebih tepat dan sistematik, dengan ketepatan kira-kira satu hingga 10 sentimeter.

Teknologi berkenaan menyokong pengurusan ladang moden berasaskan data, sekali gus membolehkan kerja pertanian dilaksanakan pada masa, tempat dan kaedah yang lebih tepat.

Ketiga-tiga inovasi berkenaan kini telah dikomersialkan untuk kegunaan industri dan sektor pertanian.

FGV turut membuka peluang kerjasama dengan pemain industri, pekebun kecil dan pengusaha pertanian bagi meneroka penggunaan inovasi berkenaan mengikut keperluan tanaman serta operasi masing-masing.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.