
Alor Setar, 9 Oktober – Empat penjaja di Market Simpang Empat, Alor Setar bersetuju mengosongkan tapak perniagaan masing-masing sebelum 12 Oktober ini bagi memberi laluan kepada kerja naik taraf kawasan itu oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).
- Perbincangan antara penjaja, MBAS dan pihak berkaitan mencapai persetujuan untuk memberi laluan kerja naik taraf.
- Isu sistem perparitan dan pandangan hadapan premis mencetuskan ketidakselesaan antara penjaja dan peniaga kedai.
- Operasi dijangka bersambung di lokasi ditetapkan mulai 13 Oktober sementara kerja naik taraf diteruskan.
Persetujuan itu dicapai hasil perbincangan antara penjaja, MBAS dan pihak berkaitan hari ini, sekali gus membuka ruang kepada usaha menambah baik kemudahan serta persekitaran perniagaan di kawasan berkenaan.
Penaung Persatuan Penjaja Melayu Negeri Kedah, Datuk Romli Ishak berkata, penjaja terbabit sebelum ini menjalankan perniagaan seperti biasa tanpa sebarang masalah, namun timbul isu berkaitan sistem perparitan dan pandangan hadapan premis perniagaan di kawasan itu.
Menurutnya, keadaan berkenaan menyebabkan sedikit ketidakselesaan antara penjaja dengan peniaga kedai yang terletak di bahagian hadapan.
“Ini inisiatif sendiri. Sebelum ini tiada penguatkuasaan di sini dan mereka berniaga seperti biasa tanpa sebarang masalah.
“Jadi, berlaku sedikit ketidakselesaan antara penjaja dan peniaga kedai di hadapan,” katanya ketika ditemui media.
Datuk Romli berkata, MBAS kemudian mencadangkan kerja naik taraf dilaksanakan bagi memperkemas kawasan berkenaan, dengan penjaja bersetuju mengosongkan tapak sebelum tarikh yang ditetapkan.
Bagaimanapun, operasi perniagaan dijangka tidak terhenti lama apabila keempat-empat penjaja itu dijadualkan kembali berniaga di lokasi yang ditetapkan mulai 13 Oktober ini, sementara kerja naik taraf berlangsung.