Peniaga kecil di Melaka nikmati sewa percuma sebulan mulai Julai

Diskaun 50 peratus bagi pembaharuan lesen penjaja

MELAKA, 6 Mei Semua penjaja dan peniaga kecil yang menyewa premis di bawah pentadbiran empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Melaka bakal menikmati pengecualian sewaan selama sebulan bermula Julai depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyewa premis di bawah Perbadanan Melaka akan menerima pengurangan kadar sewaan sebanyak 30 peratus.
  • Kerajaan negeri memperkenalkan diskaun 50 peratus untuk pembaharuan lesen penjaja di semua PBT.
  • Diskaun lesen berkuat kuasa Julai hingga Disember, pembaharuan awal layak diskaun pada 2027.
  • Langkah ini melibatkan implikasi kewangan hampir RM2.6 juta yang ditanggung kerajaan negeri.

Selain itu, penjaja dan peniaga kecil yang menyewa premis di bawah Perbadanan Melaka (MCORP) pula akan menerima pengurangan kadar sewaan sebanyak 30 peratus.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, kerajaan negeri turut memperkenalkan insentif tambahan berupa diskaun 50 peratus bagi pembaharuan lesen penjaja di semua kawasan PBT.

Menurut beliau, diskaun tersebut akan berkuat kuasa mulai Julai hingga Disember tahun ini.

“Bagi penjaja yang telah memperbaharui lesen sebelum tempoh tersebut, mereka layak menikmati diskaun 50 peratus semasa pembaharuan lesen pada tahun 2027,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika turun padang menyantuni peniaga di Medan Samudera Bandar Hilir.

Tambahnya, pelaksanaan sewaan percuma itu melibatkan implikasi kewangan hampir RM2.6 juta yang akan ditanggung oleh kerajaan negeri.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan langkah tersebut selari dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar kerajaan negeri meneliti kaedah terbaik membantu peniaga menghadapi cabaran ekonomi semasa.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Peniaga dan Pengusaha Kecil Melayu Melaka (Cawangan Melaka Bandar), Mohamad Rujahan Sidek, menyambut baik inisiatif tersebut dan menyifatkannya sebagai langkah tepat dalam meringankan beban peniaga.

Seorang peniaga, Maryam M Abdul Majid pula meluahkan rasa syukur atas bantuan yang diberikan, sambil menyatakan keadaan perniagaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini agak mencabar.

Inisiatif ini dilihat sebagai usaha berterusan kerajaan negeri dalam menyokong kelangsungan perniagaan kecil yang terjejas akibat peningkatan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi.