
KUALA LUMPUR, 6 Mei – Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) melakar sejarah dalam landskap perubatan negara apabila diiktiraf sebagai perintis pembedahan robotik bagi rawatan kanser payudara di Malaysia menerusi penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan robotik.
- Majlis Sambutan PPUM Robotic Surgery Anniversary 1.0 dirasmikan oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
- Wan Azizah memuji pendekatan multidisiplin yang memberikan ketepatan tinggi dan mempercepatkan pemulihan pesakit.
- Sejak Disember 2024, PPUM merekod 90 kes pembedahan robotik dalam enam disiplin, termasuk enam kes kanser payudara.
- PPUM guna teknologi Extended Reality berasaskan rangkaian 5G untuk latihan perubatan, kurangkan risiko jangkitan dan kesakitan.
Pencapaian bersejarah itu diraikan menerusi Majlis Sambutan PPUM Robotic Surgery Anniversary 1.0 bertemakan “Precision Beyond Boundaries” yang dirasmikan oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di sini, hari ini.
Datuk Seri Dr Wan Azizah dalam ucapan perasmiannya menzahirkan rasa bangga terhadap keupayaan PPUM melaksanakan prosedur multidisiplin yang bukan sahaja memberikan ketepatan tinggi, malah mempercepatkan proses pemulihan pesakit.
“Pendekatan ini bukan sahaja memberikan kelebihan dari segi ketepatan yang lebih tinggi,
malah mempercepatkan proses pemulihan pesakit.
“Prosedur yang lebih kecil dan tepat selari dengan aspirasi “Precision Beyond Boundaries”, iaitu ketepatan tanpa sempadan dalam rawatan perubatan.”
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan, tahniah dan syabas kepada seluruh warga PPUM atas pencapaian yang membanggakan malah saya juga berasa lebih teruja kerana pernah berkhidmat di sini”, ujar beliau lagi.
Sejak mula beroperasi pada Disember 2024, perkhidmatan surgeri robotik PPUM telah merekodkan 90 kes melibatkan enam disiplin utama, termasuk kejayaan menyempurnakan enam kes pembedahan robotik pertama bagi rawatan pesakit kanser payudara.
Selain itu, unit berkenaan turut mengendalikan 39 kes otorinolaringologi, 22 kes urologi, 22 kes kolorektal serta kes berkaitan ginekologi, dengan sasaran 100 pembedahan robotik dijangka dicapai menjelang akhir Mei ini.
Dalam masa sama,PPUM kini terus memacu inovasi melalui penggunaan teknologi Extended Reality (XR) berasaskan rangkaian 5G dalam latihan perubatan, sekali gus mengurangkan risiko jangkitan dan kesakitan kepada pesakit melalui teknik insisi yang lebih kecil.