
SEREMBAN, 6 Mei – Kerajaan Negeri Sembilan sedang meneliti cadangan penurunan atau potongan sementara kadar sewa gerai milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai langkah membantu peniaga kecil menghadapi tekanan ekonomi semasa.
- Mesyuarat Exco meminta semua PBT mengemukakan cadangan terperinci, termasuk kadar potongan dan tempoh pelaksanaan.
- Keputusan muktamad akan dibuat selepas semua cadangan diterima dan diperhalusi dalam mesyuarat akan datang.
- Pelaksanaan disesuaikan mengikut keupayaan serta keperluan setiap PBT, mengambil kira inisiatif Perdana Menteri.
- Langkah ini dianggap sokongan berterusan negeri untuk membantu peniaga kecil dan sederhana terkesan kos sara hidup.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara tersebut telah dibincangkan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, dengan semua PBT diminta mengemukakan cadangan terperinci termasuk kadar potongan dan tempoh pelaksanaan.
Menurut beliau, keputusan muktamad hanya akan dibuat selepas semua cadangan diterima dan diperhalusi dalam mesyuarat akan datang.
“Kita telah membincangkan beberapa perkara, antaranya penurunan atau potongan sementara sewa gerai milik PBT bagi menghadapi situasi ekonomi semasa. Kita minta PBT mengemukakan cadangan masing-masing dan insya-Allah perkara ini akan dimaklumkan dalam mesyuarat seterusnya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Mingguan Kerajaan Negeri di sini, hari ini.
Tambah beliau, cadangan tersebut turut mengambil kira inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun pelaksanaannya akan disesuaikan mengikut keupayaan dan keperluan setiap PBT.
Langkah ini dilihat sebagai satu bentuk sokongan berterusan kerajaan negeri dalam membantu peniaga kecil dan sederhana yang terkesan akibat peningkatan kos sara hidup serta ketidaktentuan ekonomi semasa.