
MEKAH, 6 Mei – Seorang jemaah haji lelaki Malaysia bagi musim haji 1447H/2026M dilaporkan meninggal dunia pada Isnin, 4 Mei lalu.
- Meninggal dunia di Hospital Ajiyad akibat serangan jantung, disahkan pada pukul 6.16 petang waktu tempatan.
- Jenazah disolatkan di Masjidil Haram selepas solat subuh dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Al Sharayea, Mekah.
- Lembaga Tabung Haji merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga allahyarham.
Lembaga Tabung Haji (TH) dalam satu kenyataan memaklumkan, jemaah berusia 70 tahun dari Senggarang, Johor itu hadir ke Tanah Suci bersama isterinya dan merupakan peserta di bawah Syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) kumpulan KT34.
Menurut kenyataan itu, allahyarham menginap di Hotel Elaf Al Bait dan disahkan meninggal dunia di Hospital Ajiyad pada pukul 6.16 petang waktu tempatan, akibat serangan jantung.
“Jenazah telah dibawa ke Masjidil Haram untuk disolatkan selepas solat subuh sebelum selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Al Sharayea, Mekah” menurut kenyataan itu.
TH turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga allahyarham atas pemergian tersebut.