
KAJANG, 6 Mei – Kerajaan meluluskan pembayaran elaun kepada anggota Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) bagi meningkatkan kebajikan serta motivasi penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang menyertai pasukan sukarelawan berkenaan.
- APM sedang memuktamadkan kaedah dan kriteria kelayakan untuk pembayaran elaun.
- Kadar elaun ditetapkan pada RM8 setiap jam latihan sama seperti kadar sukarelawan sedia ada.
- Pemberian keutamaan kepada pelajar tahun akhir dahulu, kemudian diperluas secara berperingkat mengikut peruntukan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, langkah tersebut berjaya direalisasikan hasil kerjasama erat dengan Kementerian Kewangan.
Menurut beliau, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kini sedang memuktamadkan perincian berhubung kaedah serta kriteria kelayakan bayaran berkenaan.
“Langkah ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa kebajikan, motivasi dan profesionalisme sukarelawan muda negara,” katanya ketika berucap mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam (HUTPA) ke-74 di Ibu Pejabat Pertahanan Awam (IPPA), hari ini.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya APM, Mohammad Abiddin Abd Rahman memaklumkan bahawa kadar elaun tersebut ditetapkan pada RM8 bagi setiap jam latihan, selaras dengan kadar yang diterima anggota sukarelawan sedia ada.
Pemberian tersebut akan diberikan keutamaan kepada pelajar tahun akhir terlebih dahulu sebelum diperluas secara berperingkat mengikut peruntukan semasa.
“Keutamaan pemberian elaun tersebut adalah kepada pelajar yang berada di tahun akhir sebelum diperluaskan secara berperingkat berdasarkan peruntukan sedia ada,” jelas beliau berkaitan mekanisme agihan dana berkenaan.
Sehingga kini, sebanyak 58 institusi pendidikan di seluruh negara telah menubuhkan Kor SISPA yang merangkumi 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), 24 Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan 14 Institut Pendidikan Guru (IPG).
Daripada keseluruhan 22,000 penuntut yang aktif menjalani latihan, seramai 1,100 orang merupakan pelajar tahun akhir yang dijangka menjadi kumpulan terawal menerima manfaat daripada pelaksanaan skim elaun ini.