Bayaran pendahuluan IPKP akan disegerakan, pastikan persiapan pesawah lancar

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu / Foto FB Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR, 6 Mei – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang memuktamadkan segera proses pelaksanaan bayaran pendahuluan bagi Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) sebanyak RM200 sehektar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pastikan bantuan disalurkan tanpa kelewatan supaya pesawah dapat membuat persiapan awal musim penanaman dengan tersusun dan lancar.
  • Menteri mengambil maklum tuntutan tambahan pesawah dan akan menilai serta menindaklanjuti keperluan mereka.
  • Kementerian akan terus menambah baik pendekatan sedia ada bagi memastikan kebajikan pesawah terjaga dan bantuan sampai sebaiknya.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, usaha itu bagi memastikan bayaran itu dapat disalurkan tanpa kelewatan, sekali gus memastikan pesawah membuat persiapan awal musim dengan lebih baik.

”Kita tidak mahu sebarang kelewatan, biar bantuan ni cepat sampai kepada pesawah supaya mereka boleh buat persiapan awal musim penanaman dengan lebih tersusun dan lancar,” jelasnya menerusi hantaran di Facebook selepas Mesyuarat Pasca Kabinet Kementeriannya, hari ini.

Tambahnya, beliau turut mengambil maklum mengenai beberapa tuntutan lain yang disuarakan oleh golongan pesawah.

Menurut beliau, pihaknya akan berusaha untuk menambah baik pendekatan sedia ada dari semasa ke semasa.

”Apa yang penting, kita nak pastikan kebajikan pesawah terus terjaga dan mendapat bantuan sebaiknya,” jelasnya.