
GUA MUSANG, 19 Mei – Lebih 1,000 penduduk Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Chalil, di sini berasa terancam selepas gajah liar semakin kerap muncul di kampung berkenaan.
- Gajah berkeliaran sehingga empat kali sebulan, menyebabkan penduduk berasa tidak selamat.
- Tanaman sumber pendapatan rosak, hampir 200 peneroka mengalami kerugian.
- Gangguan gajah sudah berlarutan lebih dua tahun, sering masuk ladang dan kawasan rumah.
- Perhilitan cuba pindahkan gajah namun usaha belum berjaya; haiwan dilihat berhampiran sekolah dan masjid.
Menurut penduduk, haiwan liar itu dilihat berkeliaran sehingga empat kali dalam tempoh sebulan menyebabkan mereka berasa tidak selamat.
Pendapatan mereka juga terjejas apabila tanaman yang menjadi sumber pendapatan utama dirosakkan haiwan terbabit.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Mukim Chalil Hasan Saleh, gangguan gajah liar sudah berlarutan sejak lebih dua tahun lalu.
Katanya, akibat serangan haiwan itu, hampir 200 peneroka mengalami kerugian apabila tanaman mereka musnah.
“Penduduk bimbang gajah berkeliaran dalam kampung. Perbincangan telah dibuat dan Perhilitan tengah berusaha untuk melakukan pemindahan.
“Sepatutnya sebelum ini sudah dibuat (pemindahan), tapi gajah liar berkenaan enggan keluar,” ujarnya.
Terbaharu, pagi semalam salah seorang penduduk, Nur Amelia Mohd Nor terserempak seekor gajah jantan ketika menghantar anak ke sekolah.
“Ketika sampai di depan pagar sekolah, saya ternampak kelibat gajah melangkah masuk ke kawasan masjid. Sebelum ini tengok dalam video sahaja, sekarang nampak depan mata,” jelasnya.