
LUMUT, 19 Mei – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan meneliti alternatif baharu bagi mendapatkan bekalan sistem peluru berpandu antikapal (NSM) dari negara lain susulan tindakan syarikat pertahanan Norway membatalkan pembekalannya kepada Malaysia.
- Buka peluang kerjasama dengan negara sahabat atau serahkan komitmen kepada industri pertahanan tempatan untuk kurangkan kebergantungan bekalan luar.
- Penting memilih sistem yang selari dan boleh berintegrasi dengan sistem kombat serta negara yang sudi pindah teknologi dan dipercayai.
- Penggantian NSM tidak segera; perlu penyesuaian mounting, integrasi radar, latihan dan ujian operasi sebelum penggunaan berkesan.
- Kerajaan Norway membatalkan lesen eksport NSM kerana dasar baharu mengehadkan eksport teknologi pertahanan sensitif kepada sekutu terpilih.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, antara langkah yang dikenalpasti adalah dengan membuka peluang kerjasama dengan negara sahabat atau menyerahkan komitmen kepada syarikat industri pertahanan tempatan, bagi mengurangkan kebergantungan bekalan negara luar.
Usaha tersebut sedang dilaksanakan bagi membolehkan Kapal Tempur Pesisir (LCS) TLDM dapat beroperasi dengan sistem persenjataan yang lengkap.
“Itu biar Navy (TLDM), kita percaya yang terbaik adalah satu sistem yang selari dan boleh berintegrasi dengan sistem kombat, yang negara yang boleh pindah teknologi dan negara yang kita yakin ikhlas memang kawan dengan kita.
Tapi yang penting, sekarang kita terikat dan mungkin mempunyai pilihan yang terhad kerana kapal (LCS) dah siap. Jadi kita kena cari yang betul-betul boleh kita laksanakan penggantiannya dengan cepat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Lumut Naval Shipyard (LUNAS) di Pangkalan TLDM Lumut, pagi tadi, bagi meninjau kemajuan pembinaan kapal tempur tersebut.
Menurut beliau, penggantian sistem NSM kepada sistem lain tidak boleh dilakukan serta-merta kerana ia melibatkan proses integrasi dengan sistem kombat, radar, latihan dan pengujian operasi kapal.
“Sebab kita kena buka (semula), kapal ini dah dipasang dia punya mounting untuk misil tu. Kerana kalau kita tempah misil yang lain daripada negara lain, dia punya mounting mungkin berbeza dan sebagainya.
Kemudian, untuk hantar kos latihan, untuk pastikan ada integrasi antara sistem baru dengan combat sistem yang sedia ada, ia memang perlu dilakukan, kerana jika tidak, sistem peluru berpandu berpemandu itu tak dapat digunakan secara berkesan,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, isu berkenaan tidak menjejaskan tarikh penyerahan kapal.
Beliau memaklumkan, LCS1 KD Maharajalela akan diserahkan pada Disember tahun ini, LCS2 (Ogos 2027), LCS3 (Disember 2027), LCS 4 pada Ogos 2028 dan LCS 5 pada April 2029.
Sebelum ini, kerajaan Norway membatalkan lesen eksport NSM kepada Malaysia secara unilateral atas alasan dasar baharu negara itu yang mengehadkan eksport teknologi pertahanan sensitif hanya kepada sekutu rapat dan rakan strategik tertentu.