fb fb fb fb fb

Pemilik kelab komedi Crackhouse disenarai hitam

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 17 Ogos - Pemilik kelab komedi Crackhouse disenarai hitam seumur hidup daripada mendaftarkan lesen perniagaan di mana-mana premis di ibu negara.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata Jawatankuasa Pelesenan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermesyuarat pada 29 Julai lalu dan bersetuju membatalkan lesen perniagaan kelab komedi berkenaan berkuat kuasa 30 Julai lalu.

Beliau berkata individu berkenaan tidak lagi boleh mendapatkan lesen perniagaan untuk berniaga di ibu kota walaupun menggunakan nama syarikat berlainan atau perniagaan berbeza.

(Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias/FOTO BERNAMA)

"Kami (DBKL) sedang memantau beberapa kelab seumpama itu di sekitar ibu negara dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang ingkar (syarat lesen)," katanya dalam sidang media selepas operasi bersepadu di Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Pada 10 Julai lalu, Jalaluddin memberitahu premis beroperasi di pinggir bandar Taman Tun Dr Ismail (TTDI) itu beroperasi tanpa lesen yang betul kerana ia hanya mempunyai lesen restoran dan tiada lesen hiburan.

Terdahulu, operasi kelab tersebut digantung sementara susulan satu klip video tular dipercayai menghina agama Islam.

Pengasas dan pemilik bersama kelab berkenaan Mohamad Rizal Johan Van Geyzel, 39, turut didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan memuat naik video di tiga platform media sosialnya yang menyentuh isu sensitiviti perkauman pada 22 Julai lepas.-BERNAMA

Media Baharu