20 penerima di Labuan terima sumbangan motosikal

20 penerima senarai miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam sistem eKasih di sini menerima sumbangan motosikal

LABUAN, 9 April – Seramai 20 penerima senarai miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam sistem eKasih di sini menerima sumbangan motosikal selain terus memperkasa Program Sejahtera MADANI.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif bersama Pejabat Pembangunan Negeri dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan meningkatkan mobiliti penerima, membuka peluang menjana pendapatan.
  • Sumbangan turut termasuk peralatan nelayan seperti bubu ketam, enjin sangkut dan pukat bagi menyokong aktiviti ekonomi tempatan.
  • Program selaras agenda pembasmian kemiskinan Malaysia MADANI dan memberi impak positif serta memperluas maklumat inisiatif kerajaan kepada komuniti.

Inisiatif Pejabat Pembangunan Negeri Wilayah Persekutuan bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri itu bertujuan meningkatkan mobiliti penerima selain membuka peluang menjana pendapatan.

Ia sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam agenda pembasmian kemiskinan secara holistik, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Sumbangan itu sekali gus, membantu aktiviti ekonomi seperti perkhidmatan penghantaran dan pekerjaan harian, sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka.

Selain penyerahan bantuan sumbangan motosikal, turut disampaikan bantuan peralatan nelayan kepada penerima iaitu bubu ketam, enjin sangkut dan pukat.

Seorang penerima Mohd Ridhwan Anuar menyifatkan pemberian motor baharu sangat membantu dalam meningkatkan sumber pendapatan.

“Sangat membantu, terutamanya dalam mencari sumber pendapatan saya. Kerja saya bergantung kepada penghantaran menggunakan motor, jadi dengan adanya motor baru ini, ia sangat memudahkan saya untuk bekerja,” katanya.

Seorang lagi penerima Jasnor Tangkim berkata, sumbangan yang diterima akan memudahkan urusan harian.

“Kita sentiasa minta bantuan, syukur alhamdulillah ahli-ahli nelayan selalu memberi dorongan, dan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan sangat membantu,” katanya.

Majlis yang berlangsung di Dewan Inap Desa Kampung Sungai Labu itu disempurnakan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman yang turut dihadiri turut dihadiri Pengarah ICU JPM Wilayah, Megat Azlani Megat Ramli.

Datuk Dr. Suhaili turut mengucapkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI atas sokongan berterusan dalam pelaksanaan projek di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Terima kasih sekali lagi kepada kerajaan MADANI di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta kepada pihak ICU, khususnya Ketua Pengarah ICU Wilayah dan SDO Wilayah, kerana telah banyak membantu dalam melaksanakan pelbagai projek di Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

Penganjuran program seumpama itu dapat memberi impak positif kepada komuniti serta memperluas penyebaran maklumat mengenai inisiatif kerajaan kepada masyarakat umum.