
PENDANG, 9 April – Semua pihak khususnya penduduk yang tinggal di kawasan sempadan negara diingatkan supaya tidak melakukan aktiviti penyelewengan atau salah guna minyak petrol dan diesel untuk di seludup ke luar negara.
- Penyelewengan minyak menjejaskan bekalan negara dan merupakan jenayah serta khianat kepada negara.
- Kerajaan telah menyediakan mekanisme bagi memastikan bekalan petrol dan diesel mencukupi serta harga berpatutan.
- Minyak bersubsidi untuk kegunaan rakyat Malaysia, jangan disalahguna atau diseludup; laporkan maklumat kepada pihak berkuasa.
- Cadangan hukuman lebih berat terhadap pesalah dan awam dinasihatkan tidak berkongsi maklumat tidak sahih di media sosial.
Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Negeri Kedah, Datuk Dr. Zulkifly Mohamad berkata, perbuatan itu bukan sahaja boleh memberi kesan terhadap bekalan petrol dan diesel negara tatkala berdepan dengan isu bekalan minyak global akibat konflik di Asia Barat, malah merupakan satu jenayah dan khianat kepada negara.
Kerajaan telah menyediakan mekanisme terbaik dalam memastikan rakyat Malaysia mendapat bekalan minyak petrol dan diesel yang secukupnya pada harga yang berpatutan.
“Seluruh masyarakat, khususnya yang berada di kawasan sempadan atau mungkin terlibat, diingatkan bahawa minyak bersubsidi yang diberikan oleh kerajaan adalah untuk rakyat Malaysia dan kegunaan dalam negara. Ia tidak seharusnya disalahgunakan dengan diseludup ke luar negara.
“Kepada masyarakat setempat yang mengetahui aktiviti ini, salurkan maklumat kepada pihak berkuasa supaya hak rakyat tidak disalahgunakan atau dijual kepada pihak luar,” katanya.
Bercakap kepada RTM di sini beliau berkata kerajaan juga perlu mengkaji hukuman lebih berat dikenakan terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan dan salah guna minyak petrol dan diesel.
Pada masa sama, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dan berkongsi pelbagai fakta dan data tidak tepat dan tidak sahih disebarkan di media-media sosial kerana dikhuatiri boleh menyebabkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.