fb fb fb fb fb

Pemain industri perkayuan Sarawak digalak beralih ke produk kayu nilai tambah tinggi

FOTO PUSAKA

KUCHING, 28 Mac- Kerajaan Sarawak mengalakkan pemain industri perkayuan di negeri ini untuk beralih ke arah pengeluaran produk kayu nilai tambah tinggi atau 'high value-added products'.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata langkah itu seiring dengan perkembangan ekonomi baharu dengan menggunakan lebih banyak bahan-bahan mentah daripada ladang hutan dan buluh.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Dua berkata Sarawak kini menumpukan kepada industri hiliran antaranya industri biojisim, industri perabot dan industri berasaskan buluh serta kayu kejuruteraan.

Jelasnya, produk biojisim seperti kayu palet dan biochar juga mendapat permintaan yang tinggi dengan mengeksport produk tersebut ke Jepun, Perancis dan Korea.

Ujarnya lagi produk tersebut mempunyai potensi besar untuk penjanaan tenaga hijau di negeri itu selari dengan aspirasi kerajaan negeri memperkasa Dasar Tenaga Hijau Sarawak.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sumbangan Tahunan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak PUSAKA dan anak-anak syarikat di Wisma Sumber Alam Petra Jaya Kuching hari ini.

Pada majlis itu, Datuk Amar Awang Tengah juga Pengerusi PUSAKA menyampaikan sumbangan sejumlah RM337,000 kepada 65 buah pertubuhan kebajikan, badan amal, agama dan pendidikan.

Terdahulu, pada majlis berasingan, beliau turut menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Peruntukan Geran Projek Khas kepada 30 penerima antaranya Persekutuan Persatuan-Persatuan Wartawan Sarawak, Persatuan Pesara Kerajaan Sarawak dan Pertubuhan Ibu Bapa Kanak-Kanak Keperluan Istimewa Sarawak PIBAKAT.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE