
KUALA LUMPUR, 23 April – Skuad bawah 16 tahun (B-16) negara berada pada tahap kesiapsiagaan mental dan fizikal terbaik menjelang aksi akhir Kejuaraan B-17 ASEAN menentang Vietnam di Gelora Delta Sidoarjo, Indonesia esok.
- Ketua jurulatih Shukor Adan akan terapkan pendekatan taktikal berbeza untuk menambah saingan menentang Vietnam.
- Skuad bangkit selepas tewas 0-4 kepada Vietnam, meraih tiga kemenangan berturut tanpa bolos untuk layak ke final.
- Rekod akhir positif: setiap kali mara final, Malaysia menjuarai kejohanan, termasuk edisi 2013 dan 2019.
- Skuad mahu lengkapkan kebangkitan ini dan jadikan kejayaan titik tolak pembangunan bola sepak negara.
Ketua jurulatih, Shukor Adan mengakui kekuatan Vietnam yang hadir dengan rekod memberangsangkan sepanjang kejohanan.
Namun beliau menegaskan pendekatan taktikal berbeza akan diterapkan bagi memastikan skuad muda negara mampu memberikan saingan sengit.
“Alhamdulillah, kita berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir. Kita tahu selepas dikecam teruk susulan kekalahan kepada Vietnam, namun saya lihat pemain bawah 16 tahun Malaysia memiliki kekuatan mental yang tinggi apabila tanpa dijangka berjaya mara ke aksi akhir tanpa dibolosi dalam tiga perlawanan terakhir.
“Saya hanya berpesan kepada pemain supaya menikmati detik ini kerana mereka telah mencipta sejarah sebagai pasukan termuda mara ke pentas akhir. Hanya semangat dan perjuangan pemain yang akan menentukan keputusan malam esok,” katanya.
Skuad muda negara bangkit daripada kekalahan 0-4 kepada Vietnam dalam aksi sulung peringkat kumpulan apabila melakar tiga kemenangan berturut-turut tanpa bolos untuk mara ke perlawanan akhir.
Malaysia mengesahkan tempat ke pentas akhir selepas menewaskan Laos 3-0, manakala Vietnam menyingkirkan juara bertahan Australia 2-1 untuk meneruskan kempen tanpa kalah.
Vietnam kekal sebagai pasukan pilihan dengan 16 jaringan dan hanya satu bolos.
Malaysia bagaimanapun memiliki kelebihan dari segi momentum serta rekod cemerlang di saingan akhir.
Setiap kali mara ke perlawanan akhir kejohanan itu, skuad negara berjaya muncul juara termasuk pada edisi 2013 di Myanmar dan 2019 di Thailand.
Kini, skuad B-16 bukan sahaja memburu kejuaraan, malah mahu melengkapkan kebangkitan yang mampu menjadi titik tolak masa depan bola sepak negara.