Sukarelawan GSF dipercayai diserang, diganggu seksual tentera Zionis Israel

Dua sukarelawan GSF, Osman Tastan dan Anas Mohammed yang tiba di Belanda selepas ditahan Zionis Israel/Foto VIORY

AMSTERDAM, 4 Mei – Tentera Zionis Israel dipercayai melakukan penderaan fizikal, psikologi dan seksual terhadap sukarelawan Global Sumud Flotila (GSF) selepas kapal mereka dipintas di perairan antarabangsa berhampiran Greece.

RINGKASAN BERITA AI
  • Osman Tastan dan Anas Mohammed tiba di Belanda; mereka antara 175 sukarelawan yang ditahan ketika misi bantuan ke Gaza.
  • Anas mendakwa beberapa aktivis berdepan gangguan seksual, manakala kebanyakan mengalami penderaan fizikal dan psikologi sepanjang tahanan.
  • Dua aktivis, Saif Abu Keshek dan Thiago Avila, masih ditahan selepas mahkamah melanjutkan tahanan atas dakwaan kaitan dengan Hamas.
  • Osman mengisytiharkan mogok lapar sehingga pembebasan, mengaku cedera pada rusuk, hidung, bahu, lengan dan kaki akibat dipukul.

Dua aktivis, Osman Tastan dan Anas Mohammed yang tiba di Belanda semalam berkata, mereka antara 175 sukarelawan yang ditahan ketika dalam misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Anas turut mendakwa beberapa aktivis berdepan gangguan seksual, manakala kebanyakan aktivis mengalami penderaan fizikal dan psikologi sepanjang tempoh tahanan.

Menurut Anas, kumpulan itu diugut dengan dron pemantau dan dron penyerang sebelum kapal mereka dipintas.

Beberapa sukarelawan turut berdepan tembakan peluru getah ketika insiden itu berlaku.

Anas berkata, sebaik dipaksa menaiki kapal lain, mereka tidak dimaklumkan ke mana dibawa sebelum tentera Zionis Israel merampas pakaian panas dan ubat-ubatan milik aktivis.

Tentera Israel dipercayai melakukan pemeriksaan badan secara paksa terhadap semua sukarelawan yang ditahan.

“Setiap kali kami meminta semula jaket, seluar atau ubat-ubatan, mereka menyerang kami dan melemparkan bom kilat,” katanya.

Dua aktivis dilaporkan masih ditahan iaitu Saif Abu Keshek dan Thiago Avila, selepas mahkamah Israel melanjutkan tahanan mereka selama dua hari atas dakwaan mempunyai kaitan dengan Hamas.

Sementara itu, Osman berkata beliau akan meneruskan mogok lapar sehingga kedua-dua aktivis berkenaan dibebaskan.

Osman mengalami kecederaan pada tulang rusuk, hidung, bahu, lengan dan kaki akibat dipukul sepanjang tempoh tahanan.

Dia turut mendakwa sebahagian aktivis dipaksa berhimpit dalam sebuah kontena sempit untuk tidur, manakala sebahagian lain dibiarkan di luar dalam keadaan basah. – VIORY