
KLANG, 20 Ogos – Cadangan peluasan pemberian Baucar Buku MADANI kepada pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) luar negara sedia dipertimbangkan.
- Perdana Menteri akan meneliti cadangan peluasan Baucar Buku MADANI secara menyeluruh sebelum membuat keputusan; tarikh pengumuman masih dipertimbangkan.
- Jika tidak diumumkan 30 Ogos, pengumuman mungkin dibuat 16 September atau semasa pembentangan Belanjawan 2027 pada Oktober.
- Baucar Buku MADANI kini bernilai RM100, diberikan kepada pelajar sekolah menengah dan mahasiswa IPT dalam negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan itu akan diteliti secara menyeluruh terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Baucar Buku MADANI untuk luar negara saya akan pertimbang dan saya pandang serius.
“Saya akan teliti. Kalau tidak umum pada 30 Ogos, saya umum 16 September, atau saya umum semasa pembentangan Belanjawan 2027 pada Oktober nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Temu Anwar bersempena Himpunan Anak Muda Kebangsaan (HAMKA) Antarabangsa 2026 di sini, hari ini.
Ketika ini, Baucar Buku MADANI bernilai RM100 diberi kepada pelajar sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) serta mahasiswa IPT dalam negara.
Dalam pada itu, Perdana Menteri memberi bayangan beberapa pengumuman penting lain akan diumumkan menjelang sambutan Hari Kebangsaan, Hari Malaysia dan pembentangan Belanjawan 2027.