
SEREMBAN, 21 Julai – Potensi Negeri Sembilan sebagai hab industri baharu mampu diperkasa dengan kemasukan lebih banyak pelaburan asing.
- Majukan kawasan perindustrian sedia ada untuk menarik pelabur asing, menambah hasil negeri dan memberi peluang pekerjaan kepada anak muda.
- Manfaatkan kawasan industri bagi memperkukuh kedudukan ekonomi Negeri Sembilan.
- Pertumbuhan ekonomi negeri disasar sekurang-kurangnya menyamai purata KDNK di peringkat nasional.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Negeri Sembilan mempunyai kawasan perindustrian berpotensi untuk terus dimajukan bagi menempatkan pelaburan baharu.
Sekali gus, meningkatkan hasil negeri dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda.
“Kita mahu bahawa potensi Negeri Sembilan untuk dimajukan sebagai kawasan industri baru dengan menggamit lebih banyak pelabur-pelabur asing dengan tujuan untuk menambah hasil negeri dan juga memberi peluang kerjaan kepada anak-anak muda di Negeri Sembilan ni akan dapat dilakukan dengan segera, ” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Himpunan Warga Kemas Bersama Kepimpinan Tertinggi di Pusat Kegiatan Masyarakat Kemas, Kampung Pantai, di sini.
Menurut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, potensi kawasan perindustrian sedia ada boleh dimanfaatkan untuk menarik lebih banyak pelaburan, seterusnya memperkukuh kedudukan
ekonomi Negeri Sembilan.
Beliau turut berharap pertumbuhan ekonomi negeri sekurang-kurangnya mampu menyamai purata Keluaran Dalam Negeri Kasar, KDNK di peringkat nasional.