Empat mandat jadi kompas baharu JIM – TPM Zahid

Foto RTM

CYBERJAYA, 21 Julai – Empat mandat utama digariskan sebagai kompas strategik bagi memastikan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) itu terus relevan, diyakini dan dihormati dalam mendepani cabaran masa depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperkasa peranan Imigresen sebagai pemudah cara ekonomi dengan mempercepat urusan pelaburan, kemasukan bakat global dan pelancongan menerusi perkhidmatan cekap dan selamat.
  • Memperkukuh keselamatan dan kedaulatan negara melalui penguatkuasaan berasaskan risikan, data dan teknologi serta kerjasama strategik antara agensi penguatkuasaan.
  • Mempercepat transformasi digital dan inovasi menggunakan data raya, kecerdasan buatan, analitik ramalan, identiti digital, biometrik dan sistem sempadan pintar sambil memperteguh integriti.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mandat tersebut merangkumi peranan JIM sebagai pemudah cara pertumbuhan ekonomi, memperkukuh keselamatan dan kedaulatan negara, mempercepat transformasi digital serta inovasi perkhidmatan, selain memperteguh integriti, profesionalisme dan nilai kemanusiaan.

Menurut beliau, keempat-empat mandat itu perlu menjadi hala tuju jelas dalam memacu transformasi JIM secara menyeluruh.

“Mandat ini harus menjadi kompas strategik yang memastikan Jabatan Imigresen terus kekal relevan, diyakini dan dihormati dalam menghadapi cabaran serta keperluan masa depan,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Imigresen ke-104 bertemakan ‘Melakar Wajah Baharu Imigresen’, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menegaskan peranan JIM sebagai pemudah cara ekonomi perlu diperkasa, khususnya dalam mempercepat urusan pelaburan, kemasukan bakat global dan sektor pelancongan melalui perkhidmatan yang cekap, pantas serta selamat.

Dalam masa sama, aspek keselamatan dan kedaulatan negara akan terus diperkukuh menerusi penguatkuasaan berasaskan risikan, data dan teknologi, disokong kerjasama strategik antara agensi penguatkuasaan.

Beliau turut menekankan kepentingan mempercepat transformasi digital melalui penggunaan teknologi seperti data raya, kecerdasan buatan (AI), analitik ramalan, identiti digital, biometrik dan sistem sempadan pintar.

Selain itu, pengukuhan integriti, profesionalisme dan nilai kemanusiaan disifatkan sebagai asas penting dalam membina keyakinan rakyat terhadap JIM.

Tegasnya, pelaksanaan menyeluruh keempat-empat mandat itu mampu membentuk wajah baharu JIM sebagai institusi strategik negara yang bukan sahaja menjadi benteng kedaulatan, malah pemangkin daya saing ekonomi serta simbol kepercayaan rakyat.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memuji prestasi JIM yang merekodkan kutipan hasil RM2.6 bilion bagi enam bulan pertama tahun ini berbanding RM5.2 bilion sepanjang tahun lalu.

Ahmad Zahid turut menyarankan agar penambahbaikan skim gaji pegawai dan kakitangan imigresen dipertimbangkan, khususnya menjelang sambutan Hari Imigresen ke-105 tahun hadapan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.