Pasport Malaysia baharu dikeluarkan 1 Jun ini

Pasport Malaysia – Foto hiasan

PUTRAJAYA, 19 Mei – Jabatan Imigresen (JIM) akan mengeluarkan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) versi baharu yang dilengkapi 94 ciri keselamatan bermula 1 Jun, sekali gus memperkukuh keselamatan dokumen pengenalan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • PMA baharu dinaiktaraf aspek keselamatan termasuk hologram, cetakan ultraviolet, elemen visual tersembunyi dan ciri forensik sukar dipalsukan.
  • Fasa permulaan pengeluaran melibatkan empat pejabat: Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, Pejabat Pasport Jalan Duta, UTC Wangsa Maju, Shah Alam.
  • Tidak perlu tergesa tukar pasport jika tempoh sah lebih enam bulan; permohonan dalam talian mesti guna gambar sebenar, bukan gambar AI.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata bagi fasa permulaan, pengeluaran pasport baharu itu akan melibatkan empat pejabat, iaitu Ibu Pejabat Imigresen di Putrajaya, Pejabat Pasport Kuala Lumpur di Jalan Duta, Pusat Transformasi Bandar (UTC) Wangsa Maju dan Pejabat Imigresen Shah Alam.

Beliau berkata pelaksanaan pengeluaran PMA baharu itu akan dibuat secara berperingkat sebelum dilaksanakan sepenuhnya di seluruh negara pada Julai.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban – Foto JIM

“Sebelum ini (pasport) kita ada 49 ciri keselamatan, tetapi untuk yang baharu kita tingkatkan hampir satu kali ganda, iaitu 94 ciri keselamatan.

“Ini bertujuan meningkatkan lagi ciri-ciri keselamatan supaya pasport kita ini lebih selamat dan lebih sukar untuk dipalsukan,” katanya pada sidang media Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JIM 2025 yang dirasmikan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, di sini hari ini.

Mengulas aspek keselamatan baharu, Zakaria berkata PMA baharu dinaik taraf dari segi aspek hologram, cetakan ultraviolet (UV), elemen visual tersembunyi dan beberapa ciri forensik khas yang sukar dipalsukan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (duduk tengah) bergambar bersama barisan kepimpinan Jabatan Imigresen (JIM) pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JIM bagi Tahun 2025 – Foto FB Saifuddin Nasution Ismail

“Benang yang menjahit buku pasport itu pun ada ciri keselamatan, dengan setiap helaian itu berbeza-beza,” katanya.

Zakaria mengingatkan orang ramai untuk tidak tergesa-gesa menukar PMA baharu kerana pasport lama dengan tempoh sah lebih enam bulan, masih boleh digunakan dan tidak perlu ditukar.

“Pasport itu sekiranya masih lagi dalam tempoh sah laku, iaitu melebihi enam bulan, mereka tidak perlu tukar sekarang kerana boleh ditukar selepas tempohnya tamat,” katanya.

Sementara itu, Zakaria berkata proses permohonan PMA baharu juga boleh dilaksanakan secara dalam talian, namun Bergantung kepada kapasiti di pejabat pasport berkenaan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai yang membuat pasport secara dalam talian untuk menggunakan gambar sebenar dan tidak menggunakan gambar yang diubah suai dengan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban (tengah) bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kiri) pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JIM bagi Tahun 2025 – Foto FB Saifuddin Nasution Ismail

“Saya ingin tegaskan supaya pemohon-pemohon pasport tidak menggunakan gambar dengan teknologi AI.

“Kita ada kesan beberapa kes, mungkin dia nak gambar cantik atau yang gelap jadi cerah, yang kurang handsome nak bagi handsome, jadi dia menggunakan AI,” katanya sambil menambah pegawai Imigresen mempunyai kepakaran mengesan penggunaan gambar AI.

Pada awal tahun ini, Saifuddin Nasution berkata Malaysia akan memperkenalkan pasport dan MyKad berwajah baharu sebagai sebahagian usaha memperkukuh keselamatan dokumen pengenalan negara.

Beliau berkata pengenalan dokumen baharu itu satu pencapaian penting, khususnya ketika pasport Malaysia kini berada dalam kelompok pasport paling dipercayai di dunia.

Untuk rekod, PMA berada di tangga ketiga pada 2025 sebagai antara pasport berkuasa di dunia. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.