Sri Lanka komited erat hubungan dengan Malaysia

Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka, Dharshana Mahendra Perera menyembahkan tauliah watikah sebagai perwakilan asing ke Malaysia kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara – Foto Istana Negara

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka ke Malaysia Dharshana M Perera menzahirkan komitmen negaranya untuk memajukan lagi hubungan pelbagai aspek dengan Malaysia, meningkatkan persahabatan yang mendalam dan berterusan melalui penglibatan pada peringkat tertinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pesuruhjaya Tinggi Dharshana M Perera menyembah watikah kepada Yang di-Pertuan Agong semasa istiadat di Istana Negara.
  • Beliau antara tujuh ketua perwakilan asing yang menyembah watikah pelantikan kepada Seri Paduka Baginda.
  • Perera menyampaikan ucapan selamat Presiden Sri Lanka dan doa untuk kesihatan Seri Paduka serta keamanan dan kemakmuran rakyat Malaysia.
  • Yang di-Pertuan Agong mengimbau hubungan lama, menekankan kerjasama bertambah dalam ekonomi dan pertahanan serta lawatan peringkat tinggi memperkukuh komitmen.

Perera menyembahkan perkara itu kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semasa istiadat menghadap di Istana Negara pada Isnin, menurut Suruhanjaya Tinggi Sri Lanka dalam kenyataan pada Selasa.

Pesuruhjaya Tinggi berkenaan adalah antara tujuh perwakilan asing ke Malaysia yang menyembahkan tauliah mereka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Perera turut menyampaikan ucapan selamat dan kesejahteraan Presiden Sri Lanka Anura Kumara Dissanayake untuk kesihatan dan kesejahteraan baginda, serta untuk keamanan dan kemakmuran rakyat Malaysia.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Penyerahan Watikah Pelantikan tujuh ketua perwakilan asing ke Malaysia di Istana Negara pada Isnin – Foto Istana Negara

“Yang di-Pertuan Agong mengimbau hubungan lama Malaysia dengan Sri Lanka sejak 1957, menyatakan bahawa kedua-dua negara telah melakukan usaha yang ketara untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai sektor, termasuk ekonomi dan pertahanan.

“Yang di-Pertuan Agong turut menekankan bahawa pertukaran lawatan peringkat tinggi dalam beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan komitmen teguh untuk mengukuhkan lagi kerjasama dalam bidang kepentingan bersama antara Sri Lanka dan Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Perera, seorang pegawai diplomat, telah berkhidmat sebagai duta ke Sweden, Indonesia dan ASEAN, serta dalam jawatan diplomatik lain di Rom, Moscow, Bangkok, New York dan Washington DC sepanjang kerjaya beliau dalam bidang diplomatik selama 30 tahun. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.