Pakistan berpotensi jadi pengantara redakan konflik Asia Barat – Penganalisis

Foto AFP

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Peranan Pakistan sebagai negara pengantara dalam usaha damai di Asia Barat dilihat mampu membuka ruang kepada pembentukan keseimbangan baharu bagi menstabilkan semula rantau yang sedang bergolak itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendekatan rundingan dipimpin negara berkecuali seperti Pakistan boleh menghasilkan penyelesaian diplomatik inklusif yang diterima semua pihak.
  • Serangan peluru berpandu dan proksi bersenjata mencabar kedaulatan negara terlibat serta menjejaskan kestabilan ekonomi global.
  • Malaysia menyokong diplomasi berteraskan kesejahteraan dan pemeliharaan kedaulatan bagi mengelakkan pelanggaran undang-undang antarabangsa.
  • Pakistan menyatakan kesediaan menjadi tuan rumah rundingan damai dan komited sokong dialog untuk keamanan serta kestabilan sejagat.

Penganalisis Keselamatan dan Politik daripada Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, pendekatan rundingan yang dipimpin oleh negara berkecuali seperti Pakistan berpotensi menghasilkan kesepakatan diplomatik yang lebih inklusif serta diterima oleh semua pihak.

Beliau menyifatkan konflik berterusan yang melibatkan serangan peluru berpandu dan proksi bersenjata ketika ini bukan sahaja mencabar kedaulatan negara-negara terlibat malah memberi kesan langsung kepada kestabilan ekonomi global.

“Malaysia sentiasa mendukung segala bentuk diplomasi dan aspirasi yang berpaksikan kepada kesejahteraan serta kedaulatan sesebuah negara. Ia penting bagi memastikan tiada sebarang bentuk penindasan atau pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa berlaku.

“Bagi memastikan elemen kepentingan semua pihak dapat dijalankan dengan lebih baik, kedaulatan sesebuah negara itu perlu terus dipelihara,” katanya ketika dihubungi RTM.

Terdahulu, Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif menyatakan kesediaan Islamabad untuk menjadi tuan rumah bagi rundingan damai bertujuan menghentikan konflik membabitkan Iran dengan Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya, Israel.

Pakistan sebelum ini turut menegaskan komitmennya untuk menyokong penuh segala usaha dialog bagi menamatkan peperangan di Asia Barat demi kepentingan keamanan dan kestabilan sejagat.