
KUALA LUMPUR, 25 Mac – Pembelian petrol dan diesel bagi tujuan persendirian selain tangki asal kenderaan perlu mengemukakan permohonanan dan mendapat kelulusan Permit Khas di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
- Pembelian menggunakan Permit Khas untuk kuantiti 20 liter ke atas, harga ikut pam semasa.
- Permohonan boleh dibuat melalui Sistem Permit Bekalan dalam talian: https://spb.kpdn.gov.my
- Permit Khas adalah percuma dan terbuka kepada semua pihak yang berkelayakan.
- Hanya pemegang Permit Khas dibenarkan mengisi minyak ke dalam tong; kecuali bagi kes kecemasan.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, langkah itu diambil bagi menggelakkan barang kawalan dan bersubsidi seperti petrol dan diesel daripada diseleweng.
“Pembelian menggunakan Permit Khas itu adalah untuk kuantiti 20 liter ke atas sahaja dan berdasarkan harga pam semasa di stesen minyak.
“Bagi tujuan permohonan Permit Khas, ia boleh dilakukan melalui Sistem Permit Bekalan secara dalam talian menerusi portal https://spb.kpdn.gov.my.
“Permit Khas ini adalah percuma dan terbuka kepada semua pihak yang berkelayakan,” ujarnya berkenaan isu pengisian petrol ke dalam tong yang tular di media sosial baru-baru ini.
Tegas beliau, tiada pihak selain pemegang Permit Khas dibenarkan untuk membeli minyak di dalam tong di stesen minyak kecuali untuk kes-kes kecemasan
Datuk Azman memaklumkan, terdapat 10 kategori yang layak memohon Permit Khas daripada pihak Kementerian seperti forklift, pengangkutan air, penduduk di kawasan pendalaman dan pulau, pengusaha industri makanan, rekreasi air, pertanian dan penternakan, bantuan kecemasan, penyelenggaraan, pelancongan serta pembinaan berskala kecil.
Melalui Permit Khas pengisian minyak boleh dilakukan menggunakan tong drum, plastik atau bekas yang selamat dan bersesuaian mengikut kuantiti, alamat stesen minyak, tempoh dan kekerapan belian yang telah diluluskan.