Organisasi Malaysia perlu perkukuh pertahanan siber hadapi ancaman AI

Pengerusi Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (PIKOM), Prof. Alex Liew

KUALA LUMPUR, 25 April – Kebanyakan organisasi di Malaysia telah meningkatkan asas pertahanan sibernya, namun usaha itu masih perlu terus tambah baik bagi menangani ancaman siber yang semakin kompleks.

Pengerusi Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (PIKOM), Prof. Alex Liew berkata, kebanyakkan ancaman siber kini adalah berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan menumpukan kepada identiti, berbanding kaedah malware tradisional.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ancaman siber kini berasaskan AI dan menumpukan kepada identiti, menggantikan kaedah malware tradisional.
  • Kerjasama antara organisasi penting; tidak boleh bergerak secara bersendirian.
  • 35.9 peratus organisasi mengalami sekurang-kurangnya satu insiden dalam tempoh Januari 2024 hingga Disember 2025.
  • 51.3 peratus responden mempunyai bajet keselamatan siber di bawah RM250,000; 78.8 peratus hanya ada lima atau kurang tenaga khusus.

“Berdasarkan laporan, kita dapati ada organisasi yang mengalami kerugian antara RM1 juta hingga RM5 juta. Kebanyakan kes berada dalam julat RM1 juta ke atas.

“Apa yang penting dalam laporan ini ialah kita perlu bekerjasama. Kita tidak boleh bergerak secara bersendirian. Ini sangat penting,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran laporan Beyond Compliance: The Continuing Saga of Malaysia’s Cybersecurity Landscape sempena Sidang Kemuncak Masa Depan Keselamatan Siber (FOCS) 2026 baru-baru ini.

Menurut laporan itu, sebanyak 35.9 peratus organisasi telah mengalami sekurang-kurangnya satu insiden keselamatan siber dalam tempoh Januari 2024 hingga Disember 2025.

Antara serangan paling lazim berlaku ialah phishing berasaskan AI atau penyamaran deepfake sebanyak 32.6 peratus, diikuti malware atau ransomware-as-a-service (30.2 peratus) serta kecurian kelayakan akses (25.6 peratus).

Laporan tersebut turut mendapati, banyak syarikat masih beroperasi dengan sumber keselamatan siber yang terhad.

“Sebanyak 51.3 peratus responden mempunyai bajet keselamatan siber tahunan di bawah RM250,000, manakala 78.8 peratus hanya mempunyai lima atau kurang tenaga kerja khusus dalam bidang tersebut,” menurut laporan itu.