Projek pusat data ‘greenfield’ pertama dijangka beroperasi seawal suku keempat tahun ini

Projek ini mampu menjana kapasiti IT sehingga 170 megawatt dengan keluasan lebih 82,000 meter persegi.

ISKANDAR PUTERI, 25 April – Projek pusat data ‘greenfield’ pertama negara, JHB One Data Centre di Iskandar Puteri dijangka mula beroperasi seawal suku keempat tahun ini, sekali gus memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab infrastruktur digital serantau.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kapasiti IT sehingga 170 megawatt dan keluasan melebihi 82,000 meter persegi menandakan skala pembangunan signifikan.
  • Memungkinkan perniagaan memanfaatkan pengkomputeran awan, kecerdasan buatan dan teknologi generasi seterusnya untuk meningkatkan keupayaan digital.
  • Mewujudkan ekosistem menarik pemain industri global, membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan memacu inovasi tempatan.

Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han berkata, projek berkenaan mampu menjana kapasiti IT sehingga 170 megawatt dengan keluasan lebih 82,000 meter persegi.

Menurut beliau, skala pembangunan itu meletakkan projek berkenaan sebagai antara yang terpenting dalam landskap infrastruktur digital negara.

“Pembangunan pusat data ini membolehkan perniagaan memanfaatkan teknologi seperti pengkomputeran awan, kecerdasan buatan dan teknologi generasi seterusnya.

“Ia juga akan membantu membina ekosistem yang mampu menarik pemain industri global, di samping mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta memacu inovasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penyiapan Struktur Utama Pusat Data berkenaan di sini.

Fasa pertama projek tersebut dijangka beroperasi pada suku keempat tahun ini dengan kapasiti awal sebanyak 20 megawatt.